THT juara Piala TNB kali keempat berturut-turut

Trofi Piala TNB musim ini masih kekal menjadi milik Terengganu Hockey Team (THT). Kejayaan itu hadir selepas THT berjaya menewaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 5-4 menerusi penentuan penalti shoot out selepas seri 4-4 pada final di Stadium Tun Razak sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan THT berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut buat kali keempat berturut-turut selepas memenanginya pada 2014, 2015 dan 2016

Dalam aksi itu, gol pertama KLHC berjaya dijaringkan Anton Poul Fritz Ebeling seawal minit kesembilan sebelum THT mengikat kedudukan 1-1 menerusi Jang Jong Hyun dua minit kemudian.

Pakar flick skuad negara, Muhammad Razie Abdul Rahim memastikan KLHC kembali mendahului dengan gol kedua melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

KLHC menamatkan aksi babak pertama dengan keputusan 3-1 selepas Ebeling meledak gol kedua peribadinya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-25.

THT kembali mendapat rentak sebenar sebaik suku masa ketiga bermula dan berjaya memperoleh gol kedua melalui Jong Hyun pada minit ke-35.

Tonggak import Korea Selatan itu ternyata menjadi aset penting buat THT apabila berjaya meledak hatrik menerusi pukulan sudut penalti sekali gus menjadikan keputusan 3-3 pada minit ke-49.

Mohd. Syamim Mohd. Yusof hampir muncul wira KLHC selepas menjaringkan gol keempat pada minit ke-53 sebelum Nicolas Enrique Della Torre meledak gol penyamaan buat THT tiga minit sebelum tamat perlawanan tersebut.

THT dinobatkan selaku juara Piala TNB musim ini selepas menang 5-4 ke atas KLHC dalam penentuan penalti shoot out.

Ketua jurulatih THT, Sarjit Singh berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak-anak buahnya yang beraksi bermati-matian untuk mempertahankan Piala TNB.

“Walaupun kami melepaskan tiga gol tetapi para pemain yakin mereka mampu mengalahkan KLHC. Akhirnya kami berjaya menyamakan kedudukan 4-4.

“Para pemain percaya dengan kemampuan mereka. Mereka tidak rela melepaskan Piala TNB kepada KLHC.

“Jadi mereka bermain sebaik mungkin dan inilah hasilnya. Saya berbangga dengan prestasi para pemain,” katanya.

 

Liga Premier

Juara: KLHC (RM100,000)

Naib juara: THT (RM60,000)

Tempat ketiga: (RM40,000)

 

Piala TNB

Juara: THT

Naib Juara: KLHC

Pemain Terbaik Perlawanan: Jang Jonghyun

Penjaring Terbanyak: Jang Jonghyun (28 gol)

Fair Play: SSTMI

Recent Posts

Leave a Comment