Piala Sultan Azlan Shah 2017: Jangan getar lawan Australia

Selepas terpaksa berpuas hati sekadar mengutip satu mata apabila seri 1-1 dengan Jepun dalam perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah semalam, skuad hoki negara bakal berhadapan satu lagi cabaran getir apabila turun bertemu juara bertahan, Australia malam ini.

Ketua jurulatih kebangsaan, Stephen van Huizen mahu anak buahnya mengambil iktibar seri dalam aksi pertama menentang Jepun semalam sekaligus bangkit untuk perlawanan bertemu Australia.

Stephen berkata“Kami terima yang Jepun juga bermain dengan baik, kami ada banyak peluang tetapi penjaga gol mereka beraksi cemerlang dan begitu juga penjaga gol kita, S. Kumar yang menyelamatkan beberapa serangan Jepun.

“Jadi untuk perlawanan esok (malam ini), kami akan berhadapan tugas lebih berat menentang Australia. Semua pemain perlu yakin dan mereka perlu sedar jika mereka mahu ke perlawanan akhir. Mereka sudah tahu semua pasukan mahukan kemenangan, jadi pemain tahu apa yang mereka perlu lakukan dan perlu lebih fokus nanti,” kata Stephen.

Biarpun tahu Australia berada di ranking yang lebih tinggi, Stephen menuntut anak buahnya bangkit dan mahu mereka memperagakan aksi yang lebih baik dalam perlawanan kedua itu malam ini.

“Australia adalah pasukan yang kuat. Mereka berada di kedudukan nombor dua dunia dan dalam kejohanan ini mereka juga adalah pasukan pilihan. Jadi kami perlu berusaha dengan lebih keras jika mahukan keputusan positif serta perlu tingkatkan mutu permainan berbanding semasa bertemu Jepun tadi (semalam),” ujar Stephen yang ditemui selepas perlawanan bertemu Jepun.

Pada aksi hari pertama Piala Sultan Azlan Shah 2017 semalam, semua tiga perlawanan pertama berakhir dengan keputusan seri dengan India dan Great Britain terikat 2-2. Pertemuan satu lagi perlawanan antara Australia dan New Zealand juga berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Recent Posts

Leave a Comment