Pasukan Thunderbolts Sedia Gegar Suku Akhir

Pelan pembangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membangunkan pemain hoki remaja melalui Program Thunderbolt tampak semakin membuahkan hasil apabila kesemua empat pasukan di bawah seliaan mereka layak ke suku akhir saingan Piala TNB Liga Hoki Remaja Kebangsaan tahun ini.

Empat pasukan tersebut adalah SSTMI Thunderbolt, SSBJ Thunderbolt, AHP-MSP Thunderbolt dan Anderson Thunderbolt yang bakal membuat perhitungan di peringkat kalah mati esok.

Jurulatih SSTMI Thunderbolt, Wan Roslan Wan Abdul Rahman berkata aksi cemerlang semua pasukan Thunderbolt adalah petanda baik bukan sahaja semasa saingan peringkat liga tetapi kepada masa hadapan sukan hoki di negara ini.

“Kita juga dapat lihat semua pasukan di bawah program ini layak ke suku akhir dan sudah pastilah aksi konsisten pasukan-pasukan ini merupakan gambaran positif untuk masa depan hoki negara kita.

“Biarpun Thunderbolt tidak menjadi juara liga pada musim ini tetapi penyokong harus menilai permainan pasukan dengan melihat aksi yang dipamerkan secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas mengenai peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala TNB Liga Hoki Remaja Kebangsaan tahun ini, jurulatih itu tidak mahu terlalu yakin tetapi optimis pasukannya akan mempamerkan aksi terbaik sekaligus mengulangi pencapaian tahun lalu mara ke final.

Wan Roslan berkata, “Kita tidak mahu fikirkan peringkat seterusnya tetapi setiap perlawanan demi perlawanan yang diharungi, saya mengharapkan pemain-pemain dapat mencapai kemenangan sebelum memikirkan tentang separuh akhir dan akhir Piala TNB Liga Hoki Remaja tahun ini”

“Persediaan kita setakat ini adalah untuk menajamkan bahagian serangan untuk merobek gawang lawan, SMKDBL Johor Junior kerana pada perlawanan terakhir dalam liga tahun ini, pemain-pemain sedikit sukar mencari penyudah,” katanya ketika dihubungi.

Bagi jurulatih SSBJ Thunderbolt, Lokman Yahya, dia juga yakin dengan kredibiliti dan perancangan Program Thunderbolts yang baginya mampu menghasilkan pemain hoki berkualiti untuk pasukan kebangsaan.

Lokman berkata, “Empat pasukan di bawah Program Thunderbolt yang layak ke suku akhir adalah bukti keberkesanan program ini sekaligus mampu menghasilkan bakat-bakat pelapis untuk skuad hoki negara pada masa akan datang. Bagi saya program Thunderbolt ini adalah antara yang terbaik di negara ini”.

Ditanya mengenai peluang pasukannya dalam suku akhir, Lokman tidak mahu pasukannya memandang rendah kemampuan lawan mereka di suku akhir nanti.

“Kami sememangnya mensasarkan untuk melepasi peringkat suku akhir terlebih dahulu kerana keyakinan terlalu tinggi boleh membawa padah kepada pasukan. Biarpun pernah menang besar 7-1 ke atas SSMS Resilient tahun lalu dalam saingan Piala Thunderbolts, itu hanya di atas kertas.

“Kami mempunyai ramai pemain yang sudah menunjukkan kematangan berbanding lawan yang rata-rata dibarisi pemain berumur 17 tahun selain pertahanan kami juga kukuh kerana bolos paling sedikit dalam liga musim ini. Itu adalah kelebihan yang kami ada”.

Pada saingan Piala TNB Liga Hoki Remaja Kebangsaan tahun lepas, kesemua pasukan di bawah Thunderbolt berjaya mendominasi saingan apabila mereka mengakhiri cabaran di empat tempat terbaik. SSBJ Thunderbolt berjaya merangkul kejuaraan manakala SSTMI di tempat kedua. Di kedudukan ketiga pula adalah SSP-MSP Thunderbolt dan Anderson Thunderbolt keempat.

Jadual Suku Akhir Piala TNBMJHL 2017 (Jumaat, 12/5/2017):

MBPJ Tigers lwn Anderson Thunderbolt (Stadium Hoki MBPJ)
AHP-MSP Thunderbolt lwn SSTMI Juniors (Stadium Hoki Wisma Belia Kuantan)
SSTMI Thunderbolt lwn SMKBDBL Johor Juniors (Stadium Hoki SSTMI)
BJSS Thunderbolt lwn SSMS Resilient (Stadium Hoki Pandamaran)
*Semua perlawanan berlangsung pada pukul 5.00pm

Recent Posts

Leave a Comment