Malaysia Tigress Bermula Langkah Kiri Di Brussels

Skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah turun beraksi pada perlawanan pertama Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Brussels 2017 bertemu Australia dengan semangat juang yang tinggi, terpaksa akur apabila tewas 0-3 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Fallon Brussels, Belgium, hari ini.

Penjaga gol negara, Farah Ayuni Yahya diuji seawal minit keempat apabila Australia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti yang pertama. Tidak mensia-siakan kelebihan yang dimiliki, Maddy Fitzpatrick dengan mudah meletakkan pasukannya dihadapan.

Dua minit selepas suku kedua bermula, Malaysia memperolehi peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, tetapi pukulan Wan Norfaiezah Md Saiuti di penjuru atas gol berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol lawan, Rachael Lynch.

Beberapa saat sebelum tamat suku kedua, skuad negara sekali lagi mendapat peluang terbaik untuk memecah kebuntuan gol apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama, namun kelebihan tersebut gagal untuk diterjemahkan kepada jaringan dan separuh masa pertama tamat dengan Australia dihadapan 1-0.

Minit ke-37 menyaksikan skuad negara sekali lagi hampir menyamakan kedudukan kali ini menerusi percubaan yang dilakukan oleh Nurbaini Hashim, namun percubaan tersebut terkena kayu pasukan lawan dan bola melepasi pintu gol.

Kesilapan untuk menghadiahkan pukulan sudut penalti kelima buat Australia pada minit ke-44 menyaksikan The Hockeyroos terus mengukuhkan kedudukan mereka dengan jaringan kedua sekali lagi menerusi Maddy Fitzpatrick. Jaringan tersebut hadir selepas pukulan yang dilakukan oleh Maddy terkena kayu pemain negara dan bola melantun tinggi sekaligus mengelirukan Farah Ayuni untuk menyelamatkan bola tersebut.

Sikap tidak mudah menyerah yang ditunjukkan oleh Malaysia Tigress menyaksikan mereka dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti kedua pada minit ke-52. Usaha untuk mendapatkan jaringan sekali lagi tidak kesampaian apabila bola pukulan Nuraini Abdul Rashid menuju tepat ke Rachael dan berjaya ditepis keluar.

Beberapa minit sebelum tamat masa sebenar perlawanan, Australia terus menggandakan asakan untuk memberikan tekanan kepada pasukan negara dalam usaha mereka bagi melebarkan kedudukan. Nyata usaha itu membuahkan hasil apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti yang keenam. Georgina Morgan menjaringkan gol ketiga Australia dan gol tersebut menutup perlawanan dengan Australia memperolehi tiga mata pertama.

“Kami telah menunjukkan bahawa kami mampu untuk memberikan saingan kepada pasukan yang menjadi pilihan. Kami tidak mudah menyerah kalah dan mendapat beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol, tetapi sayangnya kami tidak menterjemahkan kelebihan tersebut kepada jaringan.

“Kami tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang dalam perlawanan menentang Australia, tetapi perlawanan ini telah memberikan keyakinan yang tinggi kepada pemain untuk turun pada perlawanan kedua menentang Sepanyol dan meneruskan sasaran kami untuk mencari satu kemenangan,” ujar Dharma Raj ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.

Malaysia Tigress akan meneruskan saingan kedua dalam kumpulan B menentang Sepanyol (Jumaat, 23 Jun 2017 jam 12 tengah malam waktu Malaysia) dengan misi untuk mencari kemenangan pertama diteruskan.

Recent Posts

Leave a Comment