Malaysian Tigress Jumpa Thailand di Final

Malaysian Tigress menepati ramalan untuk melangkah ke perlawanan akhir hoki padang wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut kali ini menewaskan Myanmar, 11-0 dan bakal membuat perhitungan dengan Thailand pada Isnin (28 Ogos 2017) yang turut menewaskan lawan terakhir mereka Singapura 2-1.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menyaksikan skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah meledak tiga gol menerusi pukulan sudut penalti dan lapan jaringan padang.

Nuraini Abdul Rashid menjaringkan hatrik pada perlawanan terakhir apabila menjaringkan gol padang seawal minit ketujuh dan menjaringkan dua jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-15 dan 37.

Malaysian Tigress turut meledak satu gol cantik pada minit ke-14 apabila hantaran bijak Surizan Awang Noh mencari Nur Zafirah Aziz dan lorongan Zafirah membolehkan Nur Syafiqah Mohd Zain menjaringkan gol kedua Malaysia.

Aksi di suku kedua menyaksikan skuad wanita negara menambah satu jaringan padang menerusi Norazlin Sumantri apabila kedudukan Azlin yang tidak dikawal memudahkan Hanis Nadiah Onn untuk membuat lorongan.

Selepas rehat separuh masa pertama, giliran Wan Norfaiezah Md Saiuti untuk mencatat nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol kelima dan ketujuh negara pada minit ke-36 dan 47.

Turut menyumbang jaringan buat pasukan negara dalam perlawanan terakhir ialah Nuraslinda Said dua gol dalam masa dua minit iaitu minit ke-50 dan 52 yang merupakan jaringan kelapan dan kesembilan.

Kapten pasukan negara, Siti Noor Amarina Ruhani tidak ketinggalan untuk meledak satu gol pada minit ke-56 menerusi pukulan sudut penalti ke-10. Hanis yang membantu jaringan keempat Malaysia menutup perlawanan hari ini menerusi jaringan padang yang juga merupakan jaringan ke-11 negara.

Dalam pada itu, perlawanan diantara Malaysian Tigers yang bertemu Singapura berkesudahan dengan skuad Stephen van Huizen terus mencatat kemenangan 9-1 ke atas jiran seberang tambak.

Faizal Saari menjaringkan hatrik buat negara pada minit ke-5, 31 dan 40 menerusi pukulan sudut penalti sementara Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi meledak dua gol padang pada minit ke-2 dan 13.

Sementara itu tiga lagi jaringan Malaysia disumbangkan oleh Fitri Saari menerusi jaringan padang dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Muhammad Razie Abd Rahim menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan Singapura berjaya mencuri gol saguhati pada minit ke-43 hasil jaringan Enrico Marican yang meledak gol padang.

Skuad Malaysian Tigers akan turun beraksi esok (Ahad, 29 Ogos) untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Myanmar jam 8.00 malam.

Recent Posts

Leave a Comment