Myanmar Iringi Malaysian Tigers Ke Final

Biarupun tewas 6-0 kepada Malaysian Tigers pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini, Myanmar yang tidak pernah melangkah ke perlawanan akhir bakal membuat penampilan pertama di perlawanan akhir hoki lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Selasa (29 Ogos) sekaligus meranapkan impian Singapura untuk beraksi di final apabila perbezaan jaringan memihak kepada Myanmar yang berkongsi tujuh mata bersama Singapura.

Skuad bimbingan Stephan van Huizen turun beraksi dengan moral yang cukup tinggi untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut meledak empat gol pada aksi separuh masa pertama bermula dengan jaringan pembukaan Muhammad Shahril Saabah selepas bola pukulannya terbias pemain Myanmar, Than Htut Win pada minit ke-10 dan menuju ke dalam pintu gol.

Malaysia yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti kedua seminit sebelum suku pertama berakhir menambah satu lagi jaringan kali ini menerusi pukulan Muhammad Razie Abd Rahim yang terbias disambut baik oleh Fitri Saari untuk Fitri menamatkan suku pertama Malaysia di depan 2-0.

Memasuki suku kedua, kali ini giliran Razie Rahim untuk terus melebarkan jurang jaringan negara apabila memilih bahagian kanan pintu gol Myanmar untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-18.

Razie Rahim sekali lagi mengecewakan penjaga gol Myanmar, Lin Ko Ko dengan kali ini memilih bahagian bawah kiri pintu gol lawan untuk menutup aksi separuh masa pertama pada minit ke-26 menerusi pukulan sudut penalti kelima negara.

Bersambung separuh masa kedua, skuad negara memperolehi dua peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan tetapi percubaan Fitri dan Muhamad Ramadan Rosli masing-masing pada minit ke 32 dan 37 dinafikan oleh palang serta kecekapan pertahanan lawan.

Bagaimanapun, usaha skuad negara untuk terus berpesta gol akhirnya tercapai apabila Ramadan bijak untuk mendapatkan pukulan sudut penalti ketujuh negara dan Shahril Saabah tidak mensia-siakan peluang yang terhidang apabila menyempurkan pukulan tersebut.

Tidak terhenti setakat itu, seminit kemudian giliran Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi untuk terus mengecewakan Myanmar apabila menjaringkan gol menerusi gerakan padang.

Aksi di suku keempat menyaksikan Malaysia yang dihidangkan dengan lima pukulan sudut penalti tidak berupaya untuk menyempurnakan pukulan tersebut sekaligus tiada tambahan jaringan dapat disaksikan pada suku keempat dan perlawanan tamat dengan Malaysia dan Myanmar melangkah ke perlawanan akhir sementara Singapura dan Thailand akan bertemu sekali lagi untuk perebutan pingat gangsa.

Sementara itu Malaysian Tigress akan turun beraksi esok (Isnin, 28 Ogos) pada perlawanan penentuan pingat emas hoki wanita bertemu Thailand jam 6.30 petang dan Singapura serta Indonesia akan membuat percaturan merebut pingat perak pada jam 4.00 petang.

Recent Posts

Leave a Comment