Hero Piala Asia 2017: Malaysia Tigers Kekal Di Puncak Kumpulan B

Skuad bimbingan Stephen van Huizen kekal berada di tangga teratas kumpulan B dengan enam mata selepas meraih kemenangan kedua berturut-turut, menewaskan Korea Selatan 2-1 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani, Dhaka, Bangladesh sebentar tadi, sekaligus menyaksikan skuad negara menempah tempat di pusingan “Super 4”.

Dua jaringan di separuh masa pertama oleh Faizal Saari dan Muhammad Azri Hassan membantu kem negara untuk mengutip tiga mata penuh walaupun Korea mencuba untuk menyekat hajat skuad negara dengan satu jaringan selain mendapat beberapa peluang untuk menggandakan jaringan namun tidak cukup untuk menyekat skuad negara dari terus menamatkan perlawanan dengan kemenangan kedua berturut-turut.

Korea yang dilihat lebih banyak berkampung di bahagian bawah pada separuh masa pertama mendatangkan sedikit kesukaran buat skuad negara untuk mencari jaringan awal pada suku pertama dan kem negara yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama tidak berjaya untuk menterjemahkannya kepada jaringan.

Namun pada suku kedua seawal minit ke-17 Malaysia yang memperolehi pukulan sudut penalti kedua tidak mempersiakan kelebihan tersebut untuk membuka tirai jaringan selepas tipu helah yang dilakukan oleh Razie Rahim berjaya untuk mengelirukan lawan apabila melakukan kuisan bola kebelakang dan Faizal Saari mudah untuk menjaringkan gol pertama negara.

Tidak terhenti setakat itu, minit ke 19 giliran Azri Hassan untuk terus meletakkan Malaysia di hadapan 2-0 ketika situasi kelam kabut Korea untuk menyelamatkan pintu gol mereka selepas Malaysia menerima pukulan sudut penalti ketiga dan Azri yang berada di bahagian kanan pintu gol bijak untuk menolak bola yang singgah dihadapannya.

Bagaimanapun Korea berjaya untuk menewaskan S. Kumar pada minit ke 26 apabila pemain berjersi no-21, Lee Seunghoon menjaringkan gol untuk pasukannya. Jaringan tersebut dilihat menjadi pembakar semangat untuk Korea untuk terus cuba merapatkan kedudukan apabila minit ke-33 mereka hampir mengikat kedudukan tetapi percubaan tersebut terkena tiang gol negara.

Malaysia dihadiahkan dengan dua pukulan sudut penalti berturut-turut pada minti ke-38 namun usaha untuk melebarkan kedudukan tidak berjaya untuk direalisasikan ketika Malaysia yang memilih sudut sebelah kanan pintu gol untuk melakukan dua percubaan tersebut dilihat buntu.

Korea sekali lagi memiliki peluang untuk terus mengejar kedudukan apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama pada minti ke-42 dan set-piece yang cuba dilakukan oleh mereka berjaya untuk dibaca oleh Kumar sekaligus terselamat pintu gol negara.

Percubaan untuk terus melolosi pintu gol Korea berlangsung pada minit ke-48 ketika hantaran satu-dua antara Tengku Ahmad Tajuddin dan Ramadan Rosli hampir untuk memperdaya penjaga gol Korea, Hong Doopyo tetapi percubaan bahagian atas yang dilakukan oleh Tengku terkena kepala penjaga gol itu dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Malaysia akan melengkapkan jadual perlawanan peringkat kumpulan B pada Isnin (16 Oktober) dan kali ini bakal berdepan dengan Oman.

Recent Posts

Leave a Comment