TNB Piala Tun Abdul Razak 2017: Terengganu Sasar Pertahan Kejuaraan Division Satu

Menyedari tentangan hebat akan diberikan oleh kesemua pasukan yang bersaing dalam Division Satu TNB Piala Tun Abdul Razak 2017, yang akan berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak dari 4 November hingga 12 November 2017, kapten pasukan Terengganu Mohd Fitri Saari menuntut rakan sepasukannya untuk memberikan tentangan yang lebih hebat pada edisi kali ini jika mereka mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.

Jelas Fitri yang ditemui ketika sidang media yang berlangsung di Hotel Impiana, Ipoh, sasaran utama pasukannya adalah untuk mempertahankan kejuaraan namun sedar tugas tesebut bukan mudah kerana bakal menerima cabaran daripada pasukan lain termasuk lawan mereka di final 2016, Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Sasaran utama pasukan adalah untuk mempertahankan kejuaraan tetapi untuk mempertahankannya bukan tugas yang mudah kerana pasukan-pasukan yang lain juga mempunyai kehebatan tersendiri seperti Kuala Lumpur, Perak yang mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri serta PDRM yang tidak boleh dinafikan kehebatan mereka.

“Walaupun Terengganu dibarisi oleh beberapa pemain kebangsaan seperti, Faizal Saari, Nik Aiman Nik Rosemi dan Muhamad Hafizuddin Othman, pada pandangan saya jika kami mahu mempertahankan kejuaraan tersebut kami perlu beraksi dengan lebih baik daripada tahun lalu,” ujar Fitri.

Dalam pada itu Ketua Pasukan PDRM, Muhammad Razie Abd Rahim menjelaskan pasukannya tidak meletakkan sebarang sasaran pada edisi kali ini, sama seperti tahun lalu dan menganggap kejayaan untuk ke perlawanan akhir pada tahun lalu merupakan bonus untuk pasukannya.

Razie turut menegaskan pasukannya tidak akan mengambil mudah pada setiap perlawanan yang mereka bakal tempuhi dan akan memberikan persaingan yang terbaik kepada pasukan-pasukan lain yang bertanding.

“Sama seperti tahun lalu, kami tidak mempunyai sebarang sasaran dan kami melangkah ke perlawanan akhir pada edisi lalu merupakan bonus untuk pasukan. Kami akan memberikan fokus kepada perlawanan demi perlawanan sama seperti perlawanan pertama di mana kami akan bertemu Johor.

“Dengan barisan pemain yang kami miliki, saya mempunyai keyakinan bahawa pasukan kami mampu untuk melakukan kejutan dan memberikan tekanan ketika perlawanan kepada pasukan lain kerana kami mahu pasukan lain tahu bahawa kehadiran PDRM pada edisi ke 55 ini bukan hanya untuk melengkapkan jadual perlawanan,” jelas Razie.

Lapan pasukan dalam Division Satu dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A membariskan Terengganu, Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sementara Kumpulan B dihuni oleh PDRM, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Perlawanan Division Satu (Kumpulan A) esok, (4 November 2017):
6.00 Petang, Padang 1, Terengganu mln Pulau Pinang
8.00 Malam, Padang 1, Melaka mlm Kuala Lumpur

Recent Posts

Leave a Comment