TNB Piala Tun Abdul Razak 2017: Terengganu Pesta Gol, Daki Tahta Kumpulan A

Selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri pada perlawanan pertama TNB Piala Tun Abdul Razak 2017, Terengganu boleh tersenyum lebar apabila mengutip empat mata dan kini berada di puncak kumpulan A, divisyen satu dengan berpesta gol menewaskan Melaka 6-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah Ipoh, Perak, hari ini.

Terengganu terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi jaringan padang Muhammad Amirul Mirza Rozi yang bijak untuk mengambil kesempatan disebalik kekalutan banteng pertahanan Melaka untuk menyekat asakan mereka.

Minit ke-23 Terengganu dihadiahkan dengan dua pukulan sudut penalti dan peluang untuk terus melebarkan kedudukan tidak berjaya untuk diterjemahkan apabila flik Faizal Saari terkena palang gol dan berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Melaka, Mohd Hanafi Hassan.

Usaha untuk terus menggandakan jaringan akhirnya berhasil apabila Faizal Saari yang tidak dikawal bijak untuk menggunakan keadaan pintu gol yang terbuka untuk menghasilkan satu jaringan padang pada minit ke-28 dan Terengganu selesa di depan 2-0 sehingga rehat separuh masa.

Sepuluh minit selepas jaringan kedua terhasil, Terengganu terus melebarkan sayap mereka meninggalkan Melaka 3-0 apabila Faizal Saari sekali lagi meledak gol kali ini menerusi pukulan sudut penalti.

Kesilapan penjaga gol Melaka, Hanafi Hassan yang keluar dari kawasan gol untuk cuba mencabar Mohd Fitri Saari akhirnya mengundang padah buat Melaka apabila Fitri Saari yang berjaya melepasi penjaga gol tersebut menyumbang gol keempat Terengganu selepas pintu gol Melaka terbuka luas untuk Fitri menghasilkan jaringan.

Melaka berjaya untuk mencuri satu gol menerusi jaringan padang Ismail Abu pada minit ke-47 namun beberapa saat kemudian Terengganu kembali bangkit untuk menjadikan kedudukan 5-1 selepas Amirul Mirza Rozi sekali lagi meledak gol dalam perlawanan ini.

Seakan belum cukup dengan lima jaringan yang telah terhasil, Terengganu terus melebarkan kedudukan tiga minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat menerusi Syarman Mat Tee untuk mengubah kedudukan kepada 6-1 dan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam satu lagi pertemuan divisyen satu kumpulan A yang berlangsung di padang dua, impian Pulau Pinang untuk meraih tiga mata tidak berkesampaian apabila Kuala Lumpur meledak gol penyamaan seminit sebelum tamat masa permainan untuk mengikat kedudukan 3-3.

Gol penyamaan Kuala Lumpur terhasil menerusi jaringan padang Muhammad Aslam Mohamed. Kuala Lumpur sebelum itu meledak dua gol padang menerusi Mohammad Sabri Mohamed pada minit ke-24 dan Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-35.

Pulau Pinang bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi Muhammad Haikal Abdul Muthalib yang menyempurnakan pukulan sudut penalti dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin meledak dua gol pada minit ke 25 dan 51 menerusi gerakan padang.

Berikut merupakan keputusan lain-lain yang berlangsung hari ini (6 November 2017) :
Divisyen Dua (Group A)
Indonesia 2-7 Pahang dan Kelantan 3-2 Thailand

Jadual perlawanan esok (7 November 2017) :
Divisyen Dua (Group A)
4.00 Petang, Padang 2: Selangor mln Indonesia

Divisyen Dua (Group B)
6.00 Petang, Padang 1: ATM mln Perlis
6.00 Petang, Padang 2: Singapura mln Kedah

Divisyen Satu (Group B)
8.00 Malam, Padang 1: Perak mln PDRM
8.00 Malam, Padang 2: Johor mln Negeri Sembilan

Recent Posts

Leave a Comment