Permulaan Cemerlang Buat Pasukan Hoki Wanita Pahang

KUALA LUMPUR (18 November 2017): Pasukan hoki wanita Pahang selaku juara bertahan, membuka tirai saingan TNB Piala Tun Abdul Razak (W) 2017 kumpulan A dengan bergaya selepas menumpaskan Terengganu 4-0 di Stadium Hoki Kuala Lumpur petang tadi.

Kapten pasukan Pahang, Nuraini Abdul Rashid berjaya menghasilkan gol pertama pasukannya pada minit ke-8 menerusi pukulan sudut penalti. Sebelum suku pertama tamat, Pahang terus garang apabila memperoleh gol kedua kali ini melalui gol padang yang dihasilkan Noor Sailah Kerami pada minit ke-15.

Pahang terus menggasak selepas itu dan gol ketiga mereka hadir lagi di suku kedua pada minit ke-17. Kali ini giliran Nadia Abdul Rahman pula menyudahkan penalti stroke yang diberikan kepada pasukan Pahang. Tidak cukup dengan itu, tiga minit sebelum babak pertama berakhir, Wan Nor Faiezah Md Saiuti mendapatkan gol keempat Pahang hasil gol padang untuk menamatkan separuh masa pertama dengan 4-0.

Di separuh masa kedua, pemain Terengganu cuba untuk mendapatkan gol namun usaha mereka berjaya dihalang barisan pertahanan Pahang yang diketuai pemain kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani menyaksikan kedudukan 4-0 itu kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menghadiahkan mata penuh buat pasukan Pahang.

Kapten pasukan Pahang, Nuraini Rashid berkata, “Sudah tentulah saya gembira dengan kemenangan ini. Lagi satu, kita masih dalam proses mencari rentak bersama rakan sepasukan yang lain. Majoriti pemain dalam pasukan Pahang memang kita pernah beraksi bersama, namun dengan pemain-pemain junior nampaknya kita berjaya membimbing mereka dalam perlawanan ini.

“Mungkin dari segi mereka (pasukan Terengganu) memang menurunkan pemain muda tetapi dari segi kualiti permainan yang dipamerkan juga tidaklah begitu menampakkan perbezaan ketara. Jadi bagus juga untuk pendedahan kepada pemain muda. Satu kelebihan memenangi perlawanan hari ini tapi untuk seterusnya saya harap kita dapat memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya selepas tamat pertemuan tadi.

Naib juara edisi lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beraksi dalam Kumpulan B juga berjaya mengutip mata penuh selepas menumpaskan Johor dengan keputusan tipis, 1-0. Dalam perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat di sebelah petang, gol kemenangan pasukan ATM diperoleh menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Juliani Mohamad Din pada minit ke-28.

Dalam satu lagi pertemuan Kumpulan A pada sebelah malam antara Kuala Lumpur dan Perak berlangsung sengit dengan aksi berbalas serangan oleh kedua-dua pasukan. Apapun, Kuala Lumpur nyata lebih menyerlah dengan kemenangan 6-2 mengatasi pasukan Perak.

Gol Kuala Lumpur dihasilkan oleh Nurrobiatu Norhisham melalui gol padang (minit ke-8 dan ke-51), gol menerusi pukulan sudut penalti Nursyafiqah Mohd Zain (minit ke- 21 dan ke-44) dan dua gol lagi menerusi gol padang Nur Zafirah Aziz (minit ke-35 dan ke-58). Sementara gol Perak pula dihasilkan oleh Norbaini Hashim melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-26 dan satu lagi gol melalui gol padang Soffia Eizzatul pada minit ke-43 perlawanan.

Keputusan Penuh Piala Tun Abdul Razak (W) 2017:
(18 November 2017)

Pahang 4-0 Terengganu (Kumpulan A)
ATM 1-0 Johor (Kumpulan B)
Kuala Lumpur 6-2 Perak (Kumpulan A)

Jadual Perlawanan Esok (19 November 2017):
3.00PM- Indonesia lwn Perak (Kumpulan A)
5.00PM- Selangor lwn Melaka (Kumpulan B)
7.00PM- Pahang lwn Kuala Lumpur (Kumpulan A)
*Semua perlawanan di Stadium Hoki Kuala Lumpur, Jalan Pantai.

Recent Posts

Leave a Comment