Perak Catat Kemenangan Pertama Atasi Indonesia

KUALA LUMPUR (19 November 2017): Pasukan hoki wanita Perak berjaya mencatatkan kemenangan sulung mereka dalam saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 selepas menang 3-0 mengatasi Indonesia di Stadium Hoki Kuala Lumpur petang tadi.

Diletakkan dalam Kumpulan A, anak buah Azlan Ahmad yang turun dengan misi mencari mata penuh selepas tumpas kepada Kuala Lumpur semalam nyata berjaya mengawal perlawanan dengan baik meskipun berhadapan Indonesia yang kebanyakannya dibarisi pemain skuad Sukan SEA 2017 negara itu.

Perak berjaya membuka jaringan pertama pada minit ke-10 melalui sentuhan gol padang Nurliyana Ghazali yang berjaya menampan masuk hantaran rakan sepasukan.

Perlawanan kembali seimbang selepas itu dengan Indonesia melancarkan serangan untuk memburu gol penyamaan. Peluang terbaik Indonesia hadir di suku ketiga selepas pertahanan Perak gagal mengawal bola dengan baik namun pukulan penyerang mereka berjaya dihalang penjaga gol Perak, Ain Nur Nasiha.

Pada penghujung suku ketiga iaitu pada minit ke-45, Perak menarik lafas lega apabila Wan Nur Syamiefa berjaya menghasilkan gol kedua juga menerusi gol padang sebelum Amira Natasha Abu Hashim melengkapkan kemenangan Perak hasil pukulan sudut penalti lima minit sebelum tamat perlawanan.

Azlan Ahmad selaku jurulatih Perak berkata, “Alhamdulilah kita dapat tiga mata walaupun keadaan pemain kita yang agak letih kerana tidak cukup rehat selepas mengharungi dua perlawanan yang begitu sengit. Kita cuba bertahan dahulu sebelum melakukan serangan dalam perlawanan tadi.

“Sebenarnya kita tidak tahu kekuatan Indonesia kerana ini adalah perlawanan pertama dengan kita. Jadi kita cuba ubah taktikal di suku kedua selepas mengkaji corak permainan pasukan Indonesia. Selepas ini, kita harap dapat rehat secukupnya kerana tidak bermain esok sebelum turun berdepan Pahang dalam satu lagi perlawanan yang pastinya sengit selepas ini,” katanya ketika ditemui media sejurus selepas tamat perlawanan tadi.

Selepas itu, perlawanan Kumpulan B antara Selangor dan Melaka yang juga merupakan perlawanan sulung buat kedua-dua pasukan berlangsung rancak terutamanya pada akhir babak perlawanan. Apapun, Melaka terlebih dahulu berada di depan menerusi satu gol padang hasil jaringan cantik Nuraslinda Said pada minit ke-28.

Ketika perlawanan seakan-akan memihak Melaka, pasukan Selangor yang melakukan serangan bertali arus akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan. Ianya hadir hasil tolakan gol padang yang disempurnakan oleh Ellya Syahirah Ellias empat minit sebelum permainan tamat untuk kedudukan terikat 1-1.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A yang berlangsung pada sebelah malam, Pahang yang juga juara bertahan kejohanan ini berjaya memungut kemenangan kedua berturut-turut. Mereka menumpaskan tuan rumah, Kuala Lumpur dengan jaringan 5-1.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur terlebih dahulu di depan hasil pukulan sudut penalti seawal minit pertama perlawanan yang disempurnakan oleh Nur Syafiqah Mohd Zain. Selepas itu, Pahang menggandakan serangan untuk mencari gol. Hasilnya mereka menguasai perlawanan dan memperoleh jaringan hasil dua gol padang oleh Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-5 dan minit ke-53. Tiga lagi gol kemenangan Pahang masing-masing disumbangkan oleh gol padang Nur Shazwani Zakaria pada minit ke-17, pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Rabiatul Adawiyah Mohamed pada minit ke-19 serta gol padang Wan Nor Faiezah Md Saiuti pada minit ke-28.

Keputusan Penuh Perlawanan Hari Ini:
Indonesia 0-3 Perak (Kumpulan A)
Selangor 1-1 Melaka (Kumpulan B)
Pahang 5-1 Kuala Lumpur (Kumpulan A)

Jadual Perlawanan Esok (20 November 2017):
3.00PM- Melaka Lwn Johor (Kumpulan B)
5.00PM- Indonesia Lwn Pahang (Kumpulan A)
7.00PM- Terengganu Lwn Kuala Lumpur (Kumpulan B)

*Semua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur

Recent Posts

Leave a Comment