Piala Tan Sri P. Alagendra: TNB Jumpa KLHC Di Suku Akhir

Jaringan Firhan Ashari pada penentuan shoot-out pusingan kalah mati Piala Tan Sri P. Alagendra 2018 membawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke perlawanan suku akhir menewaskan Maybank 2-1 selepas TNB dan Maybank terikat 1-1 pada perlawanan sebenar yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 2, sekaligus menyaksikan TNB akan membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) pada perlawanan suku akhir esok.

TNB terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Shahril Saabah bagaimanapun terpaksa akur untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1 apabila pemain Maybank, Mohamad Zulhamizan Awang Abas menyamakan kedudukan pada minit ke-42.

Pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin memuji aksi pemain-pemainnya yang lebih mengawal permainan terutama dari segi serangan namun menyifatkan ketumpulan untuk melakukan penyudahan dengan sempurna menjadi masalah utama mereka sehingga perlawanan diheret ke penentuan shoot-out.

“Kami mengawal perlawanan dengan baik dan dari segi posisi menyerang ia lebih berpihak kepada kami tetapi kami melepaskan banyak peluang untuk menjaringkan gol dan itu merupakan masalah yang saya lihat pada pasukan untuk perlawanan hari ini.

“Maybank berjaya untuk menjaringkan gol penyamaan dan mengheret perlawanan ke shoot-out. Bila memasuki penentuan shoot-out ia lebih kepada nasib dan kami bernasib baik untuk memenangi perlawanan,” jelas Saiful Zaini yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Jaringan Muhammad Amirol Aideed dan Firhan Ashari pada penentuan shoot-out membantu TNB untuk membuat perhitungan dengan KLHC di perlawanan suku akhir esok dan Nor Saiful melabelkan perlawanan tersebut sebagai satu perlawanan yang sengit dan penting untuk anak-anak buahnya mempertajamkan bahagian pertahanan bagi menyekat hajat KLHC untuk ke separuh akhir.

“Saya melihat perlawanan dengan KLHC akan menjadi lebih mencabar dan mereka merupakan pasukan yang kuat. Saya berharap kami boleh bermain dengan lebih baik terutamanya pada bahagian pertahanan dan bertahan dengan sebaik mungkin.

“Apa yang penting ketika bertemu KLHC, jika kami memiliki peluang untuk menjaringkan gol, kami perlu menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin. KLHC mempunyai kelebihan tidak beraksi pada perlawanan hari ini sementara pemain-pemain TNB perlukan rehat untuk kembali cergas beraksi pada perlawanan esok,” tambah Saiful.

Dalam pada itu, UnikL tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Selangor D.E 10-0. Pemain import mereka, Kieran Ian Govers meledak lima gol dalam perlawanan tersebut dan UniKL akan membuat perhitungan dengan MBPJ Tiger yang turut melangkah ke suku akhir apabila meranapkan harapan MSNT-PHT dengan kemenangan 2-1.

Selain itu, TNB Thunderbolt dan Kelab Hoki Penang turut melangkah ke suku akhir selepas Kelab Hoki Penang menewaskan Olak 5-1 sementara TNB Thunderbolt yang turut mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas BJSS bakal bertemu Penang pada yang berlangsung esok.

Terengganu Hockey Team (THT) yang terlebih dahulu telah melangkah ke perlawanan suku akhir selepas mendapat kelebihan selaku juara bertahan akan bertemu dengan UITM-KPT yang berjaya bangkit mencari kemenangan menewaskan RMAF Rajawali 4-2.

Berikut merupakan jadual perlawanan suku akhir, esok, (4 Januari 2018)
Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 1
1800: UniKL mln MBPJ Tigers
2000: TNB Thunderbolt mln Kelab Hoki Penang

Stadium Hoki Bukti Jalil, Padang 2
1800: UITM-KPT mln THT
2000: KLHC mln TNB

Recent Posts

Leave a Comment