Piala Tan Sri P. Alagendra: THT, UniKL, KLHC dan TNB Thunderbolt Mara Ke Separuh Akhir

Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) dan TNB Thunderbolt mengesahkan tempat di perlawanan separuh akhir Piala Tan Sri P. Alagendra selepas cemerlang untuk mengetepikan cabaran lawan masing-masing pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

THT terlebih dahulu melangkah ke separuh akhir selepas berkenduri gol menewaskan UITM-KPT 9-0 dan disebalik peminat hoki sibuk memperkatakan tentang pemenang pingat emas olimpik yang menjadi import terbaru THT, Gonzalo Peillat, Faizal Saari lebih mencuri tumpuan selepas meledak lima gol yang berpunca daripada gerakan padang pada minit ke-24, 34 dan 55 serta pukulan sudut penalti pada minit ke-49 dan 53.

Import sensari Argentina, Peillat turut tidak melepaskan peluang untuk mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-45 dan 60 sementara dua lagi gol masing-masing disumbangkan oleh seorang lagi Import Argentina mereka, Lopez Barreiros dan Muhammad Sufi Ismat menerusi jaringan padang pada minit keenam dan 14.

Penjaring terbanyak bagi Terengganu, Faizal yang ditemui selepas tamat perlawanan nyata tidak menyangka akan meledak lima gol kerana baginya dia hanya mahu menggunakan peluang yang dimiliki sebaik mungkin dan berkongsi perasaan terujanya kerana dapat beraksi bersama Peillat.

“Saya tidak menyangka dapat meledak lima gol perlawanan hari ini kerana saya hanya menggunakan peluang yang ada dan saya rasa ini satu permulaan yang bagus untuk perlawanan pertama kami di Piala Tan Sri P. Alagendra.

“Semua mengenali Peillat sebagai penjaring terbanyak Olimpik dan juga pemain terbaik dunia jadi banyak yang saya dapat belajar daripada dia untuk perlawanan hari ini. Saya teruja kerana bermain bersama dia dan tidak semua memperolehi peluang untuk bermain dengan pemain terbaik dunia,” jelas Faizal.

THT akan membuat perhitungan dengan TNB Thunderbolt yang melangkah ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan 5-3 keatas Kelab Hoki Penang.

Sementara itu KLHC turut melangkah ke separuh akhir selepas mengetepikan cabaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila menamatkan perlawanan 2-1 hasil jaringan pemain import Korea Selatan mereka, Jang Jonghyun menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ketiga dan Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-38. TNB berjaya untuk mencuri satu gol menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang meledak pukulan sudut penalti pada minit ke-49 namun ia tidak cukup untuk menyekat KLHC.

Dalam pada itu, UniKL melangkah ke separuh akhir selepas mengecewakan MBPJ Tigers 6-0 bermula dengan dua jaringan padang Muhamad Hafiz Zainol pada minit kesembilan dan 18, diikuti dua jaringan padang Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-23 dan 48 sementara Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyumbang satu jaringan sudut penalti pada minit ke-54 dan Faridzul Afiq Mohd memuktamatkan kemenangan UniKL menerusi jaringan padang seminit sebelum tamat perlawanan.

Berikut merupakan jadual perlawanan separuh akhir, Sabtu, 6 Januari 2018

Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 2
1800: UniKL lwn KLHC
2000: TNB Thunderbolt lwn THT

Recent Posts

Leave a Comment