TNB LHM 2018: THT Kembali Pimpin Liga

Pasukan Hoki Terengganu (THT) kembali menduduki tangga teratas Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia selepas menewaskan pesaing terdekat, TNB 2-0 di Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu, hari ini.

Dengan kemenangan terbaru itu, skuad bimbingan Sarjit Singh kini memimpin liga dengan 15 mata, lebih satu mata berbanding juara liga musim lalu, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Tonggak utama THT, Fitri Saari nyata berpuas hati dengan kemengan itu selepas dia serta rakan sepasukannya sekadar meraih satu mata pada perlawanan terakhir bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Walaupun ia bukanlah aksi terbaik kami tetapi yang penting adalah dapat meraih tiga mata penuh.

“Tak guna dapat bermain dengan baik tetapi tidak mendapat kemenangan.

“Harap saya serta rakan sepasukan dapat meneruskan momentum kemenangan ini apabila bertemu Maybank selepas ini,” katanya.

Fitri mengakui saingan liga musim ini cukup sengit dengan perebutan takhta liga saling bertukar antara THT dan TNB.

“Musim ini TNB sangat bagus kerana mereka mempunyai pemain tempatan yang berkualiti,” katanya.

Pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat sekali lagi menjadi taruhan terbaik THT apabila menjaringkan kedua-dua gol itu pada minit ke-11 dan 26.

Sementara itu, KLHC terus merapatkan jurang dengan THT apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Maybank.

Berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur, KLHC bagaimanapun dikejutkan dengan gol pertama Maybank menerusi jaringan Alan Oscar William seawal minit ke-4.

Muhammad Rashid Baharom bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan untuk KLHC 10 minit kemudian hasil jaringan padang.

Mohd Syamim Mohd Yusof menambah gol kedua selepas menjaringkan gol padang minit ke-29.

Empat minit sebelum tamat permainan, tonggak import KLHC, Thomas Carson menjaringkan gol padang sekali gus mengesahkan kemenangan KLHC.

 

TNB Liga Hoki Malaysia

Liga Perdana

 

Keputusan hari ini

THT 2 TNB 0

KLHC 3 Maybank 1

TNB Thunderbolts 0 UniKL 5

 

Ahad

TNB lwn TNB Thunderbolts, 6 ptg

UniKL lwn KLHC, 8 30 mlm

(Std Hoki  Nasional Bukit Jalil)

 

THT lwn Maybank, 8.30 mlm

(Std Hoki  Batu Buruk)

Recent Posts

Leave a Comment