TNB LHM 2018: Perhitungan Terakhir KLHC, THT

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) bakal bertemu pada perlawanan terakhir Liga Perdana, Jumaat ini untuk menentukan siapakah yang bakal dinobatkan selaku juara liga.

Pada perlawanan hari ini, KLHC yang berstatus juara bertahan, tidak berdepan masalah untuk menewaskan TNB 4-0 sementara THT juga seperti dijangka mudah mengatasi TNB Thunderbolts 4-2.

Kemenangan skuad bimbingan Lim Chiow Chuan itu menyaksikan KLHC kekal menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 20 mata sementara THT hanya lebih satu mata untuk terus memimpin tangga teratas liga.

Chiow Chuan nyata cukup berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya itu kerana keputusan perlawanan berkenaan cukup penting.

“Bagi saya keinginan pemain untuk meraih tiga mata penuh sangat tinggi.

“Setiap pemain nampak bersemangat untuk meningkatkan prestasi masing-masing dan begitu bekerja keras,” katanya.

Mengulas perlawanan terakhir bertemu THT yang bakal menentukan juara Liga Perdana, Chiow Chuan menegaskan mereka sememangnya sudah menjangkakan situasi itu.

“Apa yang boleh kami lakukan adalah untuk melakukan persediaan sebaik yang mungkin.

“Kami mahu mengekalkan prestasi ini pada perlawanan terakhir liga nanti,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur itu, KLHC hanya memperoleh gol pertama minit ke-28 selepas Muhammad Hafizuddin Zaidi menjaringkan gol padang,

Hafizuddin sekali lagi berjaya mencari ruang  menolak masuk bola ke gawang lawan pada minit ke-44 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun menyumbang dua lagi gol minit ke-49 dan jaringan padang minit ke-58 untuk mengesahkan kemenangan KLHC.

Sementara itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Thunderbolts terlebih dulu mengejutkan THT apabila di depan hasil pukulan sudut penalti Muhamad Sabri Mohamed seawal minit ke-8.

Bagaimanapun THT memperoleh empat gol selepas itu menerusi jaringan padang Lopez Barreiros minit ke-11, pukulan sudut penalti Moritz Erhard dan Gonzalo Peillat masing-masing minit ke-36 dan 41 serta jaringan padang B Namasivayam minit ke-46.

Muhammad Azammi Adabi menjaringkan gol kedua Thunderbolts minit terakhir perlawanan.

 

Liga Hoki Malaysia

Liga Perdana

 

Keputusan hari ini

KLHC 4 TNB 0

TNB Thunderbolts 2 THT 4

UniKL 1 Maybank 1

 

Jumaat

TNB mln UniKL, 6 ptg

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

 

Maybank mln Thunderbolts, 8.30 mlm

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

 

KLHC mln THT, 5 ptg

(Std Hoki Kuala Lumpur)

Recent Posts

Leave a Comment