Piala TNB 2018: Unikl Rangkul Gelaran Pertama

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) muncul juara Piala TNB selepas menewaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada aksi final hari ini sekali gus kejuaraan pertama diraih mereka sejak menyertai Liga Hoki Malaysia.

UniKL meraih kemenangan menerusi penentuan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 tamat permainan sebenar dan berkongsi wang kemenangan sebanyak RM 80, 000.

Pemain import, Jeroen Dolf Hertzberger muncul wira UniKL selepas tolakan penalti terakhirnya berjaya menewaskan penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berhati-hati.

Tiga pukulan sudut penalti yang diperolehi oleh UniKL serta dua untuk KLHC gagal disempurnakan dengan baik sekali gus menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Usaha UniKL untuk mencari gol pertama akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-33 selepas Glenn Stewarts Tunner tenang mencari ruang di dalam D untuk menguis masuk bola.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Jang Jonghyun menyempurnakan penalti stroke minit ke-36 sekali gus menjadikan kedudukan terikat semula 1-1.

Kedua-dua pasukan berusaha untuk mencari gol kemenangan tetapi akhirnya perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4, TNB mengejutkan THT apabila menewaskan lawan mereka itu 4-3.

Shello Silverius meletakkan TNB di depan seawal minit ke-7 sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menambah gol kedua seminit kemudian menerusi jaringan padang.

Joaqin Menini merapatkan jurang minit ke-25 sebelum Mohamad Akhimullah menambah gol ketiga TNB minit ke-34.

Muhammad Azrai Aizad mengukuhkan kedudukan dengan gol keempat minit ke-38 sebelum Gonzalo Peillat dan Menini masing-masing menyumbang gol untuk THT minit ke-51 dan 54 namun ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan TNB.

 

Piala TNB

 

Final

KLHC 1 UniKL 1

(UniKL menang menerusi penentuan penalti 4-3)

 

Tempat ke-3/4

TNB 4 THT 3

 

Anugerah Khas:

Fairplay; TNB Thunderbolts

Penjaring Terbanyak: Gonzalo Peillat (16 gol)

Pemain terbaik perlawanan akhir: Roslan Jamaluddin

Recent Posts

Leave a Comment