TNB LHM 2018 (Wanita): PKS Uniten KPT Muncul Juara Liga

Pasukan PKS Uniten KPT muncul juara TNB Liga Hoki Malaysia 2018 (Wanita) selepas membelasah pasukan Penang Juniors 8-0 pada perlawanan terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Sementara Blue Warriors dan Terengganu Ladies pula terpaksa berpuas hati untuk menamatkan saingan liga dengan menghuni tempat kedua dan ketiga.

Terdahulu aksi PKS Uniten KPT dan Penang Juniors bermula dengan kedua-dua pasukan buntu untuk meledak gol sebelum PKS Uniten KPT membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi jaringan gol padang oleh Ellya Syahirah Ellias.

Aksi di suku kedua pula menyaksikan Pasukan PKS Uniten KPT berjaya menambah jaringan seawal minit ke-16 menerusi gol padang yang dijaringkan oleh Hanis Nadiah Onn dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Anak buah Lailin Abu Hassan meneruskan kecemerlangan mereka apabila berjaya menambah dua gol disuku ketiga perlawanan dan menjadikan kedudukan 4-0. Kedua-dua gol dijaringkan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-38 dan gol padang selang tiga minit kemudian oleh Nurul Nabihah Mansur.

PKS Uniten KPT meneruskan dominasi mereka keatas Pasukan Penang Juniors apabila terus menambah gol pada minit ke-48 melalui gol padang Nuraini Abdul Rashid dan selang dua minit kemudian, Hanis Nadiah Onn terus memastikan PKS Uniten KPT terus didepan selepas menjaringkan gol keduanya melalui gol padang.

PKS Uniten KPT berjaya menambah dua lagi gol pada minit ke-54 dan 57 melalui gol padang masing-masing dijaringkan oleh Fatin Shafika Mahd Sukri dan Nurul Nabihah Mansur dan kedudukan 8-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Pada perlawanan lain, Pasukan Blue Warriors berjaya bangkit dari ketinggalan satu gol dengan mencipta kemenangan keatas Pasukan Terengganu Ladies 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu.

Pasukan Terengganu Ladies berada didepan seawal minit ke-13 melalui gol yang dijaringkan Norazlin Sumantri namun, Blue Warriors berjaya mencipta dua gol pada suku ketiga menerusi Nadia Abd Rahman dan Nurul Aida Abdul Razak.

Pada suku keempat, Siti Zulaikha Husain berjaya menambah jaringan sekaligus memastikan kemenangan mutlak Blue Warriors keatas Terengganu Ladies.

Pada perlawanan sebelah malam, Pasukan MSN Kedah berjaya membenam cabaran UITM dengan kemenangan 2-0 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Dua gol tersebut dijaringkan melalui gol padang oleh Nuramira Syakirah Zulkifli pada minit ke-20 dan Nur Afiqah Syazani Azhar pada minit ke-50.

TNB Liga Hoki Malaysia 2018 (Wanita)

Terengganu Ladies 1- 3 Blue Warriors
PKS Uniten KPT 8 – 0 Penang Juniors
UITM 0 – 2 MSN Kedah

Recent Posts

Leave a Comment