PSAS 2018: Kehadiran Argentina dan Ireland Bakal Berikan Lebih Pengalaman Kepada Skuad Negara – Razie Rahim

Menjelang Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018 yang bakal membuka tirai, esok (3 Mac 2018) di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah Ipoh Perak, kapten Malaysian Tigers, Muhammad Razie Abdul Rahim memandang positif kehadiran pasukan seperti Argentina dan Ireland di kejohanan yang memasuki edisi ke-27 itu.

Bagi Razie, pasukan tersebut membantu untuk memeriahkan lagi kejohanan kali ini selain skuad Malaysia mampu mengutip sebanyak pengalaman yang boleh dijadikan sebagai medan untuk terus memperbaiki pasukan menjelang beberapa perlawanan penting yang bakal di hadapi oleh Malaysian Tigers pada tahun ini.

“Kehadiran pasukan seperti Argentina dan Ireland pada tahun ini bakal memberikan lebih banyak pengalaman kepada skuad negara yang mempunyai kumpulan pemain yang besar selain bakal menguji tahap sebenar permaianan setiap pemain kerana kami berdepan dengan pasukan yang berada di ranking lebih atas.

“Memandangkan kami bakal berhadapan dengan beberapa tugasan penting tahun ini seperti Sukan Asia dan juga Piala Dunia hujung tahun nanti, saya melihat PSAS edisi kali ini akan memberikan lebih banyak pengalaman kepada kami untuk terus memperbaiki pasukan ke arah lebih baik,” jelas Razie yang ditemui ketika sidang media yang berlangsung di Hotel Impiana.

Ketika ditanya adakah tanggungjawab selaku kapten pasukan memberikan tekanan kepadanya, Razie nyata tidak menganggap ia sebagai tekanan kerana mempunyai barisan pemain senior yang lain untuk membantunya menggerakkan pasukan.

“Bagi saya lilitan di lengan hanya sekadar lilitan kerana di belakang saya ada beberapa pemain senior seperti, Nabil Fiqri Mohd Noor, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, Mohd Marhan Mohd Jalil, Faizal Saari dan Mohd Fitri Saari yang akan membantu saya mengelolakan pasukan sama ada di dalam padang mahupun diluar,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, pegawai fisioterapi skuad kebangsaan, Fauzan Sanusi mengesahkan selepas perbincangan bersama doktor pasukan kebangsaan, Mohd Iman Effendy, Joel van Huizen di sahkan melepasi ujian kecergasan dan berada di dalam senarai 18 pemain selepas Joel mengadu mengalami keteganggan di pangkal peha ketika perlawanan persahabatan kedua menentang Argentina baru-baru ini.

“Selepas perlawanan persahabatan kedua menentang Argentina, Joel ada mengadu mengalami keteganggan di bahagian pangkal peha dan selepas mengadakan beberapa ujian kecergasan terhadapnya Joel didapati berada di dalam keadaan baik dan mampu untuk membantu pasukan menghadapi PSAS,” jelas Fauzan.

Recent Posts

Leave a Comment