Dua Menang Satu Kalah, Malaysian Tigers Tutup Aksi Persahabatan

Tiga siri perlawanan persahabatan yang telah diatur buat Malaysian Tigers berkesudahan dengan skuad bimbingan Stephen van Huizen mencatatkan dua kemenangan dan satu kekalahan. Terbaru dalam aksi ketiga yang berlangsung hari ini, skuad negara mengalami kekalahan 0-2 kepada Australia dalam aksi yang berlangsung di Pusat Hoki Gold Coast yang juga merupakan venue rasmi Sukan Komanwel 2018.

Sebelum ini Malaysian Tigers mencatatkan kemenangan keatas New South Wales Institute of Sports (NSWIS) dalam dua perlawanan persahabatan, 4-2 pada aksi pertama (29. Mac) dan 5-2 pada aksi kedua (31. Mac) lalu.

Pengendali negara, Van Huizen melihat secara keseluruhan tiga perlawanan persahabatan yang telah dilalui oleh anak-anak buahnya telah banyak membantu mereka mendapat latihan perlawanan yang secukupnya selain berasa lega kerana tiada pemain yang mengalami kecederaan.

“Perlawanan persahabatan yang telah kami lalui banyak membantu pemain-pemain untuk mendapat latihan perlawanan selain ia juga membantu kami untuk mencuba beberapa perkara baru.

“Perlawanan hari ini bertemu Australia merupakan satu perlawanan yang bagus untuk pasukan kerana pemain bermain dalam tempoh yang baik dan mereka perlu bekerja keras dalam permainan.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada pemain yang mengalami kecederaan sepanjang perlawanan persahabatan,” jelasnya ketika dihubungi selepas tamat pertemuan dengan Australia.

Van Huizen juga turut berharap selepas tiga perlawanan persahabatan yang dilalui anak-anak buahnya, mereka mampu untuk menghasilkan keputusan yang memberangsangkan pada aksi pembukaan bertemu England, Jumaat ini.

“Kami telah bersedia untuk memulakan kempen Sukan Komanwel dan saya mengharapkan kami mampu untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam perlawanan bertemu England nanti,” tambahnya lagi.

Recent Posts

Leave a Comment