Sukan Komanwel 2018: Malaysian Tigers Buka Tirai Dengan Langkah Kiri

Skuad hoki lelaki negara memulakan kempen Sukan Komanwel Gold Coast dengan langkah kiri apabila tewas kepada pasukan yang berada di ranking ketujuh dunia England 0-7 pada aksi yag berlangsung hari ini di Pusat Hoki Gold Coast, Australia.

Jurulatih negara, Stephen van Huizen menyifatkan ia bukan sesuatu yang bagus untuk membuka saingan dengan kekalahan namun memuji sikap tidak putus asa pemain dalam usaha untuk kembali bangkit selain berjaya untuk menidakkan enam daripada lapan pukulan sudut penalti yang diperolehi oleh England.

“Secara keseluruhan ia bukan permulaan yang baik untuk kami apabila tewas 7-0 kepada England. Kami mengimbangi perlawanan pada suku pertama namun minit-minit terakhir mereka menjaringkan gol dan saya sendiri tidak pasti adakah ia satu jaringan sebenarnya.

“England memperolehi lapan pukulan sudut penalti dan mereka hanya menjaringkan dua daripada lapan pukulan tersebut dan satu pujian perlu diberikan kepada barisan pertahanan kerana berjaya untuk menidakkan enam pukulan sudut penalti.

“Di suku ketiga England tidak berjaya untuk menambah jaringan dan kami cuba untuk meningkatkan permainan di suku keempat untuk mencari jaringan tetapi apa yang berlaku England menambah tiga lagi jaringan menerusi serangan balas,” ujar Stephen yang dihubungi selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Van Huizen mampu menarik nafas lega apabila tiada pemain yang mengalami kecederaan dan menganggap pertemuan dengan Wales sangat penting buat skuad negara untuk mencari kemenangan dan mahu pemain bangkit pada aksi tersebut.

“Saya lega kerana tiada pemain yang mengalami kecederaan dan pertemuan dengan Wales sangat penting untuk kami mencari kemenangan kerana dua lagi perlawanan bertemu Pakistan dan India bukan perlawanan yang mudah.

“Kami akan cuba memperbaiki setiap kekurangan hari ini supaya tidak berulang pada pertemuan esok dan saya berharap pemain akan bangkit pada pertemuan dengan Wales,” jelasnya lagi.

Malaysian Tigers yang dalam misi untuk mendapatkan kemenangan pertama akan turun pada perlawanan kedua esok bertemu dengan Wales jam 7.30 pagi waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment