Sukan Komanwel 2018: Malaysian Tigers Bangkit Tebus Kecewa

Skuad bimbingan Stephen van Huizen mengutip tiga mata pertama dalam kempen Sukan Komanwel 2018 sekaligus menebus kekecewaan selepas tewas dengan England semalam apabila mengetepikan cabaran Wales 3-0 dalam aksi kedua kumpulan B yang berlangsung di Pusat Hoki Gold Coast Australia, hari ini.

Tiga gol yang dihasilkan oleh skuad negara bermula dengan jaringan penalti strok pada minit ke-19 menerusi Fitri Saari yang tidak berdepan kesukaran untuk menyempurnakan pukulan tersebut. Gol kedua negara hadir pada minit ke-37 selepas pukulan sudut penalti Razie Rahim dinafikan dan tindakan bijak Joel van Huizen yang bermain mengikut wisel dan memukul masuk bola ke pintu gawang Wales menggandakan jaringan negara.

Lima minit sebelum tamat masa sebenar perlawanan Faizal Saari memuktamatkan kemenangan Malaysian Tigers menerusi gol padang dan kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Peningkatan permainan dan tiga mata yang diperolehi nyata mengembirakan pengendali negara dan Van Huizen mahu pemain lebih berwaspada dalam melakukan kesilapan supaya tidak mengutip kad yang dirasakan tidak patut agar pasukan tidak berdepan kesukaran kekurangan pemain.

“Pemain telah bermain dengan baik dan menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan aksi semalam dan kami sangat gembira berjaya untuk mengutip tiga mata hari ini.

“Sudah tentu ada bahagian-bahagian yang masih lagi perlu diperbaiki dan pemain perlu mengelakkan daripada mengutip kad yang tidak sepatutnya kerana ia agak sukar untuk beraksi dengan kekurangan pemain,” ujarnya.

Dalam pada itu Van Huizen mahu menggunakan sepenuhnya rehat dua hari sebagai persiapan untuk pemain sebelum turun bertemu India dan mahu pemain menjalani sesi pemulihan dengan sebaiknya kerana penting buat skuad negara untuk bersedia secukupnya dari segi mental dan fizikal.

“Kami sedar dua perlawanan selepas ini iaitu bertemu India dan Pakistan bukan perlawanan yang mudah dan rehat dua hari akan digunakan dengan sebaiknya.

“Kami perlu memastikan pemain-pemain menjalani sesi pemulihan dengan sebaiknya dan bersedia sepenuhnya dari segi mental serta fizikal.

“Dua perlawanan seterusnya juga yang bakal menentukan dimanakah kedudukan kami dalam kejohanan jadi penting untuk mendapatkan keputusan yang baik.”

Momentum kemenangan yang berjaya diraih oleh skuad negara diharapkan mampu untuk diteruskan mereka apabila turun bertemu India pada Selasa (10. April) jam 7.30 pagi waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment