Sukan Komanwel 2018: Malaysian Tigress Tewas Bermaruah

Menidakkan 12 pukulan sudut penalti dan menggagalkan tiga pukulan penalti strok lawan merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh Malaysian Tigress walaupun terpaksa menerima hakikat mereka tewas 0-3 kepada England dan kesemuanya menerusi jaringan padang pada aksi Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang berlangsung hari ini di Pusat Hoki Gold Coast, Australia.

Aksi ketiga Malaysian Tigress dalam kumpulan A itu juga menyaksikan skuad negara dihadiahkan dengan enam pukulan sudut penalti namun buntu untuk menterjemahkannya kepada jaringan dan pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah memuji aksi cemerlang kesemua pemainnya terutama penjaga gol utama negara, Farah Ayuni Yahya yang beraksi dengan cukup mantap.

“Saya bangga dengan pemain-pemain saya walupun kami tewas dan selama saya bersama pasukan wanita, perlawanan hari ini merupakan perlawanan yang paling terbaik saya bersama mereka.

“Barisan pertahanan bertindak cemerlang dari segi bertahan ketika pukulan sudut penalti selain Ayuni beraksi di tahap paling cemerlang hari ini.

“Kami mendapat enam pukulan sudut penalti yang cukup bagus dan kami mengambilnya secara flik terus ke penjaga gol dengan harapan mampu untuk mendaptkan sekurang-kurangnya satu jaringan.

“Tiga pukulan sudut penalti kami berjaya untuk menewaskan penjaga gol England tetapi pertahanan mereka bijak membantu untuk menyelamatkan pintu gol,” jelas Dharmaraj ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Dharmaraj juga menyatakan hanya kemenangan dengan Wales menjadi misi utama mereka ketika turun pada aksi terakhir peringkat kumpulan kerana jika skuad negara mencatat keputusan seri, ia akan meletakkan Malaysia sebagai pasukan yang akan bersaing bagi penentuan tempat kesembilan dan kesepuluh.

“Perlawanan bertemu Wales merupakan perlawanan yang cukup penting kerana kami perlu mencari kemenangan daripada pertemuan tersebut.

“Sekiranya kami hanya mencatatkan keputusan seri bersama Wales ia akan meletakkan kami sebagai pasukan yang akan beraksi bagi penentuan tempat kesembilan dan kesepuluh pada kejohanan kali ini,” ujarnya lagi.

Esok Malaysian Tigress akan berehat sebelum turun pada Rabu (11. April) untuk membuat perhitungan terakhir bagi peringkat kumpulan bertemu Wales pada jam 7.30 pagi waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment