Sukan Komanwel 2018: India Sekat Hajat Malaysia

Harapan Malaysian Tigers untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata daripada pertemuan ketiga peringkat kumpulan B, Sukan Komanwel 2018 tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada India dalam aksi yang berlangsung di Pusat Hoki Gold Coast, hari ini.

Malaysia yang menampilkan aksi terbaik memberikan tekanan kepada India bagaimana dikejutkan terlebih dahulu menerusi jaringan pukulan sudut penalti India pada minit kedua dengan Harmanpreet Singh menyempurnakan jaringan tersebut.

Bagaimanapun gol pendahuluan India tidak mematahkan skuad negara untuk bangkit mencari jaringan penyamaan dan seminit selepas aksi suku kedua bermula, Faizal Saari yang bijak untuk mencari sudut melakukan jaringan menerusi gerakan padang untuk Malaysia mengikat India.

Serangan bertali arus terus ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dan India yang dihadiahkan dengan empat pukulan sudut penalti berturut-turut akhirnya menambah jaringan sekali lagi menerusi Harmanpreet pada minit ke-44.

Malaysia dilihat terus menggandakan asakan untuk kembali mendapatkan gol penyamaan, namun usaha tersebut buntu dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Jurulatih negara, Stephen van Huizen yang dihubungi selepas tamat perlawanan nyata berpuas hati dengan corak permainan anak-anak buahnya hari ini walaupun mereka terpaksa berdepan dengan kekalahan. Dia turut memuji penjaga gol negara, Muhammad Hairi Abd Rahman yang beraksi dengan cukup cemerlang hari ini.

“Saya berpuas hati dengan persembahan yang telah ditunjukkan oleh pemain-pemain terutamanya apabila menyelamatkan tujuh daripada sembilan pukulan sudut penalti dan empat percubaan padang juga berjaya diselamatkan.

“India menjaringkan gol terlebih dahulu tetapi kami berjaya untuk mendapatkan jaringan penyamaan untuk membuka kembali permainan.

“Pemain pertahanan telah bertindak cemerlang ketika pukulan sudut penalti dan Hairi juga telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang.

“Bagaimanapun India mendapat empat pukulan sudut penalti berturut-turut dan mereka menjaringkan gol kemenangan,” jelasnya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Pakistan esok, Van Huizen menyifatkan ia merupakan perlawanan penting buat anak-anak buahnya untuk mengimbangi Pakistan kerana mereka mempunyai dua hari rehat dan skuad negara perlu bersedia sepenuhnya dari segi fizikal selain tidak mahu pemain mengambil mudah perlawanan tersebut walaupun keputusan seri akan meletakkan Malaysia untuk beraksi di penentuan tempat kelima dan keenam.

“Pertemuan dengan Pakistan esok merupakan pertemuan yang penting untuk pasukan negara. Kami dan Pakistan berkongsi mata dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan tetapi mengikut peraturan perlawanan kami mempunyai satu kemenangan sementara mereka hanya seri tiga perlawanan sebelum ini jadi walaupun mencatat keputusan seri esok, kami akan tetap melangkah ke perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam.

“Tetapi perlu diingatkan Pakistan mendapat dua hari rehat sedangkan kami telah beraksi hari ini, jadi kami perlu bersedia sepenuhnya terutamanya dari segi fizikal untuk mengimbangi mereka dan saya mahu pemain bermain seperti biasa dan tidak mengambil mudah perlawanan esok walaupun kami hanya memerlukan keputusan seri.

“Pakistan yang kini di bawah kendalian jurulatih baru, Roelant Oltmans telah menunjukkan peningkatan yang baik dan kami perlu bersedia sepenuhnya untuk pertemuan dengan Pakistan esok,” tambahnya lagi.

Skuad lelaki dan wanita negara akan turun untuk aksi terakhir peringkat kumpulan dengan skuad wanita akan turun terlebih dahulu jam 7.30 pagi waktu Malaysia bertemu Wales, dan diikuti dengan skuad lelaki pada jam 12.30 tengah hari bertemu Pakistan.

Recent Posts

Leave a Comment