Sukan Komanwel 2018: Hanis Pimpin Malaysian Tigress Ke Penentuan Tujuh Dan Lapan

Jaringan tunggal Hanis Nadia Onn menghadiahkan tiga mata yang cukup berharga untuk skuad negara menamatkan saingan peringkat kumpulan A di tempat keempat, Sukan Komanwel 2018 selepas menewaskan Wales 1-0, sekaligus membawa Malaysia ke penentuan kedudukan tempat ketujuh dan kelapan pada aksi yang berlangsung Pusat Hoki Gold Coast, hari ini.

Hanis meledak gol padang pada minit ke-23 dan walaupun Malaysia mempunyai peluang untuk menggandakan jaringan serta Wales cuba untuk merobek gawang negara termasuk usaha menggunakan “kicking back keeper”, tetapi masing-masing buntu untuk mencari penyudahan terbaik dan menyaksikan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah menyifatkan pemain-pemainnya berjaya untuk menyerap tekanan dan cemerlang dengan memperolehi kemenangan yang cukup bermakna untuk mereka.

“Pemain masuk ke padang dengan situasi perlu mendapatkan kemenangan jika mahu bermain di penentuan tempat ketujuh dan kelapan. Keputusan seri akan menyebabkan kami beraksi di kedudukan kesembilan dan kesepuluh.

“Selepas kami berjaya mendapatkan gol pada minit ke-23, kami bermain untuk mencari kemenangan dan alhamdulillah pemain-pemain berjaya untuk meyerap tekanan yang cuba diberikan oleh Wales dan kami memperolehi kemenangan,” jelasnya yang dihubungi selepas perlawanan.

Ketika ditanya mengenai penentuan tempat ketujuh dan kelapan esok, Malaysia akan bertemu Scotland dan Dharmaraj menyifatkan kejayaan menduduki tempat ketujuh pastinya sesuatu yang cukup bermakna buat skuad negara yang dijangka kehilangan khidmat Surizan Awang Noh esok akibat kecederaan.

“Kita akan bertemu Scotland yang berada di ranking ke-18 dunia dan mengecapi kemenangan serta menamatkan kejohanan di kedudukan ketujuh pastinya sungguh bermakna buat kami.

“Persaingan sangat sengit dan kami akan mencuba sebaik mungkin untuk memberikan persembahan terbaik dan tentunya mahu mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir.

“Surizan mengalami kecederaan di betis dan terpaksa didukung pulang ke bilik kerana tidak mampu untuk berjalan jadi kemungkinan kami akan kehilangan khidmatnya esok,” ujarnya lagi.

Malaysian Tigress akan turun beraksi esok bertemu Scotland bagi penentuan tempat ketujuh dan kelapan jam 1.45 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment