Sukan Komanwel 2018: Malaysian Tigers Ke Penentuan Kedudukan Kelima Dan Keenam

Keputusan seri yang dicatatkan oleh skuad Malaysian Tigers 1-1 ketika bertemu Pakistan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan B, Sukan Komanwel 2018 yang berlangsung hari ini di Pusat Hoki Gold Coast membantu Malaysia untuk menamatkan persaingan di kedudukan ketiga kumpulan sekaligus beraksi dalam penentuan tempat kelima dan keenam untuk perlawanan terakhir mereka.

Malaysia yang bermula garang untuk mencari gol awal bagaimanapun dikejutkan dengan gol pembukaan lawan pada minit kesembilan menerusi gol padang Shafqat Rasool. Bagaimanapun jaringan tersebut tidak mematahkan semangat skuad negara untuk bangkit mencari gol penyamaan dan jaringan tersebut berjaya dihasilkan pada minit ke-39 untuk kedudukan berubah 1-1.

Jaringan negara tercetus menerusi gerakan cantik larian solo Mohd Fitri Saari yang berjaya melepasi tiga pertahanan Pakistan dan menuju ke sebelah kanan pintu gol Pakistan dimana Muhamad Ramadan Rosli yang berada di hadapan pintu gol serta tidak dikawal bijak untuk menyambut bola hantaran Fitri dan jaringan berjaya dijelmakan menerusi gerakan tersebut.

Malaysia hampir menggandakan jaringan beberapa minit sebelum perlawanan tamat namun percubaan Muhammad Shahril Saabah sedikit tersasar dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Pengendali Malaysian Tigers, Stephen van Huizen nyata gembira dengan anak-anak buahnya yang berjaya menamatkan persaingan peringkat kumpulan dikedudukan ketiga selain mencapai sasaran untuk menamatkan persaingan Sukan Komanwel 2018 mengikut kedudukan ranking dunia dimana Van Huizen menyatakan Malaysia sepatutnya berada di kedudukan kelima atau keenam secara keseluruhan.

“Saya sangat gembira dengan keputusan seri yang dicatatkan hari ini kerana keputusan tersebut telah membantu kami untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.

“Jika mengikut kedudukan ranking dunia, kita perlu menamatkan persaingan di kedudukan kelima dan keenam atau lebih baik dan saya berpuas hati kerana kami mencapai sasaran untuk mengakhiri persaingan mengikut kedudukan ranking kami.

“Pada awal perlawanan pemain melakukan beberapa kesilapan dan sedikit kelekaan telah menyebabkan kami dikejutkan dengan gol pertama Pakistan.

“Bagaimanapun kami kembali membentuk pasukan semula dan bermain sebagai satu pasukan dengan lebih baik dan ianya membuahkan hasil apabila gerakan Fitri dan Ramadan menghasilkan gol penyamaan pasukan.

“Kami mendapat peluang terbaik untuk menjaringkan gol kedua di penghujung perlawanan dan saya berpendapat jika Shahril bermain dengan sedikit ketenangan mungkin gol kedua dapat dihasilkan,” jelasnya yang dihubungi selepas tamat perlawanan.

Mengulas mengenai prestasi pasukan secara keseluruhan, Van Huizen menyatakan masih terdapat kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki terutamanya apabila ke Kejohanan Sukan Asia yang akan berlangsung bulan Ogos nanti dan akan menemukan Malaysia dengan India serta Pakistan sekali lagi.

“Secara keseluruhan selepas tamat perlawanan peringkat kumpulan saya melihat masih ada banyak ruang dan kekurangan yang perlu diperbaiki terutamanya selepas ini kita akan beraksi untuk Sukan Asia yang akan menemukan kami dengan India dan Pakistan sekali lagi.

“Selepas tamat pertemuan dengan India dan Pakistan saya dapat melihat di Sukan Asia Indonesia nanti persaingan akan menjadi lebih sengit ditambah dengan kehadiran Korea Selatan serta Jepun pastinya cabaran akan menjadi lebih tinggi,” tambahnya lagi.

Malaysia akan beraksi di penentuan tempat kelima dan keenam pada Jumaat dan masih menanti siapakah lawan mereka pada perlawanan yang dijangka berlangsung jam 2.15 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment