Sukan Komanwel 2018: Malaysian Tigress Akhiri Saingan Di Tempat Kelapan

Impian skuad wanita negara untuk menyamai rekod Sukan Komanwel empat tahun lalu di Glasgow Scotland iaitu menamatkan persaingan di kedudukan ketujuh tidak berkesampaian selepas tewas 2-4 kepada Scotland dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan Sukan Komanwel Gold Coast Australia 2018 yang berlangsung di Pusat Hoki Gold Coast, hari ini.

Malaysia yang ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama selepas Millie Brown menjaringkan gol pembukaan pada minit keempat dan diikut dua jaringan Amy Brodie pada minit ke-21 dan ke-26 bangkit untuk merapatkan kedudukan menerusi dua jaringan pukulan sudut penalti.

Gol pembukaan negara terhasil seminit selepas separuh masa kedua bermula apabila kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki digunakan sebaiknya oleh Fatin Shafika Sukri untuk membias flik yang dilakukan oleh Nuraini dan penjaga gol Scotland, Amy Gibson tertewas.

Minit ke-39 skuad negara berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan kedua yang kali ini disempurnakan oleh Nuraini Rashid selepas sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kedudukan berubah 2-3.

Ketika skuad negara berusaha untuk mencari jaringan penyamaan, minit ke-51 Lucy Lanigan terus menjarakkan kedudukan menerusi jaringan padang dan gol tersebut kekal hingga tamat perlawanan untuk aksi 60 minit berkesudahan dengan 2-4.

Mengulas mengenai semangat juang yang tinggi telah ditampilkan oleh anak-anak buah Muhammad Dharmaraj Abdullah, dia menegaskan pasukannya telah dididik dengan semangat juang yang tinggi dan tidak mengenal erti mengalah sama ada dalam situasi mendahului mahupun ketinggalan dalam perlawanan.

“Pasukan ini membesar dengan didikan untuk bermain dengan semangat juang yang tinggi tanpa mengenal erti mengalah dan saya melihat semangat untuk melawan memang tinggi dalam hati pemain.

“Saya berpuas hati apabila menyaksikan sendiri pemain-pemain membesar sebagai pemain bertaraf dunia.

“Peningkatan yang  memberangsangkan telah ditunjukkan oleh Fatin Shafika, Hanis Nadia Onn, Wan Norfaieza Saiuti, Noraini, Siti  Noor Amarina Ruhani, Juliani Mohamad Din dan Raja Norsharina Raja Shabuddin.

“Selain itu, penjaga gol utama negara, Farah Ayuni Yahya kini cukup menonjol untuk diangkat sebagai penjaga gol bertaraf dunia dan tidak ketinggalan pemain muda Nur Amirah Shakirah Zulkifli menunjukkan dia merupakan pemain muda yang bakal meningkat naik sebagai penyerang sensasi negara walaupun kejohanan ini merupakan kejohanan pertamanya,” ujar Dharmaraj yang dihubungi selepas tamat perlawanan.

Untuk rekod, skuad wanita negara menamatkan saingan di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dengan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan secara keseluruhan.

Recent Posts

Leave a Comment