Sukan Komanwel 2018: Malaysian Tigers Tempat Kelima, Benam Cabaran Scotland

Ketinggalan 1-0 nyata tidak mematahkan semangat Malaysian Tigers untuk bangkit menamatkan persaingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di kedudukan kelima menerusi dua gol dengan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Scotland pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam yang berlangsung di Pusat Hoki Gold Coast hari ini.

Jika Sukan Komanwel Glasgow 2014 menemukan Malaysia dan Scotland di penentuan ketujuh dan kelapan, edisi 2018 sekali lagi menemukan kedua-dua pasukan dan kali ini di penentuan kedudukan kelima dan keenam. Seakan mengulangi skrip yang sama ketika 2014, Malaysian Tigers sekali lagi menewaskan Scotland dengan jaringan yang sama 2-1.

Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan lawan pada minit ke-11 selepas Alan Forsyth menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman menerusi jaringan padang.

Skuad negara memperolehi jaringan penyamaan menerusi gol padang Shahril Saabah pada minit ke-21.

Jaringan kemenangan Malaysian Tigers muncul pada minit ke-39 selepas dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad bijak untuk melakukan biasan pada flik yang dilakukan oleh Muhammad Razie Abd Rahim.

Dua minit sebelum perlawanan sebenar tamat, Scotland yang mengambil risiko menggunakan “kicking back keeper” cuba untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi percubaan yang dilakukan nyata buntu dan kedudukan 2-1 kekal memihak kepada skuad negara.

Pengendali negara, Stephen van Huizen nyata gembira apabila anak-anak buahnya berjaya memperbaiki rekod empat tahun lalu dengan menamatkan saingan dikedudukan kelima dan memuji aksi pemain-pemain muda yang menunjukkan peningkatan selain berjaya untuk menyerlah.

“Saya cukup gembira apabila kami berjaya untuk menamatkan saingan di kedudukan kelima tetapi saya sedikit kecewa kerana kami gagal untuk pergi lebih jauh iaitu beraksi di peringkat separuh akhir.

“Bagaimanapun kedudukan kelima adalah kedudukan yang baik untuk kami kerana berjaya memperbaiki rekod 2014.

“Saya juga melihat pemain-pemain muda berjaya untuk menyerlah dan menunjukkan peningkatan walaupun ini merupakan Sukan Komanwel yang pertama buat kebanyakkan daripada mereka.

“Perlawanan tadi kami tidak bermain pada tahap yang terbaik dan saya rasakan kami boleh melakukan dengan lebih baik lagi.

“Kami sepatutnya boleh menjaringkan gol dengan lebih lagi tetapi kami terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol,” jelasnya yang dihubungi selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Van Huizen menegaskan selepas ini tumpuan akan diberikan untuk memperbaiki pasukan dan memperbetulkan semula kesilapan-kesilapan individu yang dilihat pada temasya kali ini agar pasukan akan kembali lebih mantap pada perlawanan akan datang.

“Selepas ini kami akan kembali memberikan fokus kepada membentuk semula pasukan dan meningkatkan lagi tahap kecergasan pemain kerana selepas tamat Liga Malaysia, kami hanya mempunyai dua minggu untuk mengumpul pemain-pemain dan ke Piala Sultan Azlan Shah.

“Fokus selepas ini juga akan tertumpu untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan individu dan sebagai pasukan kami akan kembali dengan lebih mantap untuk perlawanan seterusnya,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, secara keseluruhannya skuad lelaki negara menamatkan temasya Sukan Komanwel 2018 dengan dua kemenangan satu seri dan dua kekalahan.

Recent Posts

Leave a Comment