TNBLHRM 2018: MSSPP-PSHA, MBMB Warriors Kutip Tiga Mata Pertama

Saingan Pusingan X-Y, Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 bagi divisyen dua yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menyaksikan MSSPP-PSHA dan MBMB Warriors berjaya mengutip tiga mata pertama selepas masing-masing cemerlang menidakkan cabaran lawan mereka.

Dalam pertembungan kumpulan X yang berkesudahan MSSPP-PSHA JRS 2-3 MSSPP-PSHA menyaksikan MSSPP-PSHA JRS terlebih dahulu berjaya membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Afendi Zaidin yang bijak mencari ruang pada minit keenam.

Bagaimanapun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila MSSPP-PSHA menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti dan tindakan bijak Putera Ahmad Syahmie Ahmad Aswad yang melakukan tindakan susulan mengubah kedudukan 1-1 pada minit ke-11.

Beberapa saat sebelum aksi suku pertama berakhir MSSPP-PSHA sekali lagi meledak gol kali ini menerusi jaringan padang Muhammad Haikal Hilman Mohamad Hanfiah.

Aksi di suku kedua terus bersambung dengan kedua-dua pasukan terus meningkatkan permainan mereka dalam usaha memburu jaringan dan MSSPP-PSHA JRS berjaya untuk mengikat kedudukan 2-2 apabila Muhammad Afendi Zaidin sekali lagi mencatat nama selaku penjaring menerusi gol padang.

Lima minit selepas separuh masa kedua bersambung MSSPP-PSHA terus menjarakkan kedudukan kali ini menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhamad Faris Harizan dan walaupun kedua-dua pasukan terus berusaha untuk menambah jaringan, kebuntuan melakukan penyudahan menyaksikan kedudukan 3-2 kekal memihak MSSPP-PSHA.

Dalam satu lagi aksi yang berlangsung bagi kumpulan Y, MBMB Warriors tidak berdepan masalah untuk memastikan mereka mengutip bekalan tiga mata pertama pada pertemuan dengan TBSS Tampin apabila membelasah lawannya itu 4-1.

MBMB Warriors membuka tirai jaringan pada minit ke-15 selepas dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kesilapan yang dilakukan TBSS Tampin ketika bertahan mengundang padah buat mereka apabila MBMB Warriors dihadiahkan dengan pukulan stroke dan Muhammad Fakhri Zaide cemerlang menyudahkan pukulan tersebut.

Bersambung suku kedua, MBMB Warriors terus menggandakan jaringan sekali lagi menerusi Muhammad Fakhri Zaide yang kali ini menggunakan kelebihan pukulan sudut penalti dengan sebaiknya.

Bagaimanapun TBSS Tampin bangkit untuk mengejar dengan jaringan pertama menerusi situasi kalut yang berlaku di hadapan pintu gol MBMB Warriors dimanafaatkan sebaiknya oleh Vengadeswaran Vivekananda untuk mengubah kedudukan 2-1 pada aksi separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, MBMB Warriors menambah dua lagi jaringan padang pada minit ke-34 dan ke-38 masing-masing menerusi Hazzim Hamizan Hedzir dan Muhammad Afif Azfar Salim untuk memastikan mereka terus selesa berada di hadapan dan kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

 

Keputusan Hari Ini (19 April 2018)

MSSPP-PSHA JRS 2 MSSPP-PSHA 3

TBSS TAMPIN 1 MBMB WARRIORS 4

 

Perlawanan esok (20 April 2018)

Kumpulan Y: 1700, NHS 2: ANDERSON PHA lwn MBMB WARRIORS

Kumpulan X: 1915, NHS 2: KL VIPERS MSSM KL lwn MSSPP – PSHA

Recent Posts

Leave a Comment