Kelayakan Olimpik Remaja: Misi Hidup Mati Skuad Wanita

Kemenangan 9-0 yang diraih oleh skuad B-18 wanita pada perlawanan kedua yang berlangsung hari ini bertemu Chinese Taipei menghidupkan kembali peluang skuad wanita negara untuk beraksi di pusingan separuh akhir Kelayakan Sukan Olimpik Remaja 2018 Asia (5 Sebelah) yang berlangsung di Stadium Queen Sirikit, Bangkok Thailand dengan syarat wajib menang keatas Jepun pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok.

Pengendali skuad wanita, Yahya Atan nyata berpuas hati dengan kebangkitan yang ditampilkan oleh pemain-pemainnya sambil menyifatkan perlawanan bertemu Jepun esok sebagai misi hidup mati pasukan dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pemain untuk mencari kemenangan.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa kami mampu untuk menewaskan Chinese Taipei dan esok merupakan perlawanan yang cukup penting, hidup dan mati untuk pasukan iaitu penentuan dengan Jepun untuk menempah tempat di separuh akhir.

“Jika dilihat dari segi fizikal Jepun mempunyai kelebihan tetapi apa sahaja boleh berlaku di dalam padang dan pemain tidak boleh mempunyai sikap menyerah kalah jika mahukan kemenangan dan mereka perlu untuk berjuang habis-habisan sehingga penghujung perlawanan.

“Setakat ini saya sangat berpuas hati dengan persembahan yang telah ditampilkan oleh pemain-pemain tetapi sekiranya mereka mencatatkan kemenangan pada perlawanan esok ia merupakan satu pencapaian yang cukup baik untuk pasukan,” ujar Yahya.

Sementara itu skuad lelaki pula terus cemerlang dengan mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut kali ini mereka menidakkan cabaran Bangladesh dengan menewaskan lawan mereka itu 7-4.

Sikap tidak mahu menyerah kalah yang ditunjukkan oleh skuad lelaki negara yang pada mulanya ketinggalan mendapat pujian pengendali mereka, Wallace Tan dan dia mahu pemain-pemain berusaha lebih keras pada dua perlawanan esok yang akan menjadi penentuan untuk mereka beraksi di pentas separuh akhir.

“Kami ketinggalan pada awalnya apabila Bangladesh menjaringkan gol terlebih dahulu tetapi sikap ingin menang dan semangat berjuang yang cukup tinggi ditunjukkan oleh mereka untuk memenangi perlawanan.

“Pada saya apa yang penting kami memandang kepada satu perlawanan demi satu perlawanan dan memberikan perhatian sepenuhnya untuk terus mengutip mata maksimum dan pemain-pemain kini mempunyai momentum kemenangan jadi untuk dua perlawanan esok mereka perlu lebih bekerja keras.

“Apa yang penting untuk perlawanan esok adalah pemain perlu meningkatkan mutu permainan dan jika pemain boleh bermain dengan cemerlang keputusan akan datang untuk membantu mereka meraih kemenangan,” jelas Wallace.

Skuad lelaki akan turun beraksi pada jam 11 pagi waktu Malaysia bertemu Pakistan dan akan bertemu Singapura pada jam 5 petang waktu Malaysia sementara skuad wanita akan membuat perhitungan terakhir dalam kumpulan bertemu Jepun pada jam 1 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment