Kelayakan Olimpik Remaja: Skuad Lelaki Buru Tiket Ke Argentina

Semangat skuad lelaki bawah 18 tahun negara yang telah melayakkan diri ke separuh akhir Kelayakan Sukan Olimpik Remaja 2018 Asia (5 Sebelah) yang berlangsung di Stadium Queen Sirikit, Bangkok Thailand kini kian membara untuk memburu dua slot yang dipertaruhkan bagi ke Sukan Olimpik Remaja 2018 di Bueno Aires, Argentina

Selepas lima perlawanan Malaysia mengumpul 15 mata maksimum akan bertemu Korea Selatan pada aksi separuh akhir esok yang muncul selaku naib juara kumpulan A, sementara juara kumpulan A, India akan bertemu Bangladesh yang muncul selaku naib juara kumpulan B yang mengumpul 10 mata.

Bagi memastikan impian untuk ke Argentina tercapai, Malaysia perlu mencari kemenangan pada aksi separuh akhir esok dan dua pasukan yang beraksi di pentas final akan layak secara automatik untuk bersaing di Sukan Olimpik Remaja 2018 di Bueno Aires, Argentina.

Pengendali skuad lelaki negara, Wallace Tan nyata berpuas hati dengan keputusan tanpa kalah yang diraih oleh anak-anak buahnya sambil mahu tumpuan sepenuhnya diberikan kepada aksi bertemu Korea Selatan kerana slot ke Sukan Olimpik Remaja 2018, Argentina akan menjadi taruhan.

“Secara keseluruhannya saya sangat gembira apabila meraih lima kemenangan dalam lima perlawanan peringkat kumpulan selain layak untuk beraksi di separuh akhir.

“Apa yang penting kini adalah untuk menumpukan perhatian kepada perlawanan bertemu Korea Selatan kerana kemenangan akan membawa kami untuk beraksi di Argentina dan tumpuan kini diberikan sepenuhnya kepada perlawanan esok.

“Saya menjangkakan satu perlawana yang hebat bertemu Korea Selatan esok dengan tiket ke Argentina menjadi taruhan selain ia merupakan aksi kalah mati jadi perlawanan esok pasti bukan perlawanan yang mudah buat kedua-dua pasukan,” ujarnya.

Malaysia akan turun bertemu Korea Selatan esok pada jam 7 malam waktu Malaysia dengan misi mencari kemenangan untuk membawa mereka ke Argentina.

Recent Posts

Leave a Comment