Kelayakan Olimpik Remaja: Skuad Wanita Akur Tewas Kepada India

In MAIN

Bangkok (28 April 2018) : Impian skuad wanita bawah 18 negara untuk melangkah ke perlawanan akhir Kelayakan Sukan Olimpik Remaja 2018 Asia (5 Sebelah) sekaligus menempah tiket secara automatic ke Sukan Olimpik Remaja 2018 di Bueno Aires, Argentina tidak berkesampaian apabila aksi yang berlangsung di Stadium Queen Sirikit, Bangkok menyaksikan skuad bimbingan Yahya Atan akur tewas 2-4 kepada India.

India terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit keenam namun jaringan tersebut tidak mematahkan semangat skuad negara untuk bangkit mencari gol penyamaan pada minit kesembilan menerusi kapten negara, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun dan mengikat India 1-1 pada aksi separuh masa pertama.

Bersambung suku masa kedua, India berjaya menambah jaringan pada minit ke-14 selepas mempunyai kelebihan seorang pemain akibat pemain negara dilayangkan kad hijau dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ishika Chaudhary dan beberapa saat sebelum suku kedua berakhir India terus memastikan mereka dihadapan menerusi jaringan Salima Tete.

Minit ke-23 India meledak gol keempat mereka menerusi Sangita Kumari dan jaringan tersebut nyata menaikkan semangat pemain negara untuk kembali mengejar pada minit ke-27 apabila Siti Zulaika Hussin menjaringkan gol kedua buat negara dan jaringan tersebut tidak cukup untuk megejar India dan perlawanan tamat dengan India mara ke perlawanan akhir menewaskan skuad negara 4-2.

Semangat pemain yang tidak mudah payah atau menyerah kalah sepanjang kejohanan diakui oleh pengendali negara, dan Yahya mengakui beberapa kekurangan dilihat antara faktor skuad negara gagal ke perlawanan akhir.

“Walaupun kami ketinggalan pada awal tetapi saya puji semangat pemain yang tidak patah walaupun ketinggalan dan sikap itu perlu dihargai dan memang matlamat kami untuk mencari kemenangan dan layak ke Sukan Olimpik Remaja tetapi beberapa kekurangan seperti fizikal dan kekuatan India melebihi pasukan negara.

“Jika dilihat pada pasukan Korea Selatan mereka mempunyai persamaan seperti China iaitu fizikal dan asas permainan juga bagus tetapi saya yakin pemain akan melakukan sehabis baik dan taktikal yang akan diterapkan esok adalah untuk menyekat pasukan Korea dengan sehabis baik,” ujar Yahya.

Skuad wanita negara akan turun pada aksi terakhir esok iaitu penentuan tempat ketiga dan keempat bertemu Korea Selatan pada jam 3 petang waktu Malaysia

Recent Posts

Leave a Comment