Kelayakan Olimpik Remaja: Skuad Lelaki Cipta Sejarah Ke Sukan Olimpik Remaja

Bangkok (28 April 2018) : Skuad lelaki bawah 18 tahun negara mencipta sejarah apabila layak untuk beraksi di Sukan Olimpik Remaja 2018 buat kali pertama selepas mengesahkan tempat di perlawanan akhir selepas memenangi penentuan shoot-out 5-4 ketika perlawanan sebenar Kelayakan Sukan Olimpik Remaja Bawah 18 tahun (Asia) 2018 yang berlangsung di Stadium Queen Sirikit berkesudahan 4-4.

Penjaga gol negara, Muhammad Hamiz Mohd Ahir muncul wira apabila menyelamatkan pukulan shoot-out terakhir daripada Korea Selatan selain lima gol shoot out skuad negara disumbangkan oleh Muhammad Amirul Hamizan Azahar menjaringkan tiga gol dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook dengan dua gol.

Skuad negara bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan Korea Selatan pada minit kedua menerusi Bae Soung bagaimanapun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila Akhimullah bangkit menyamakan kedudukan pada minit keempat.

Corak permainan pantas terus disajikan oleh kedua-dua pasukan apabila Korea Selatan kembali berada di hadapan menerusi Chun Semin pada minit kelima dan tersentak dengan jaringan tersebut beberapa saat kemudian Muhammad Noor Firdaus Rosdi kembali mengikat kedudukan menerusi satu jaringan cantik daripada jarak jauh dan tiga minit sebelum suku pertama berakhir Akhimullah meledak jaringan keduanya untuk meletakkan Malaysia dihadapan.

Bersambung suku kedua giliran Korea Selatan untuk mengejar skuad negara apabila pada minit ke-12 Lee Seyong menjadikan kedudukan 3-3 dan kedudukan di suku kedua kekal walaupun kedua-dua pasukan menggandakan assakan untuk mencari gol kelebihan.

Memasuki suku terakhir kapten negara Amirul Azahar kembali meletakkan skuad negara dihadapan pada minit ke-22 namun empat minit kemudian Korea Selatan kembali mengejar menerusi jaringan Jang Pilhyeok untuk kedudukan berubah 4-4 dan kedudukan kekal untuk membawa aksi kepenentuan shoot-out.

Pengendali skuad lelaki bawah 18 tahun, Wallace Tan memuji sikap tidak menyerah kalah dan berjuang sehingga ke penghujung perlawanan untuk meraih kejayaan yang mereka kecapi hari ini selain mahu pemain-pemain kembali mengalihakn fokus kepada satu lagi misi penting iaitu pertemuan akhir dengan India.

“Pemain-pemain telah memberikan segalanya walaupun perlawana terpaksa di heret ke penentuan shoot-out tetapi mereka masih berjuang sehingga ke shoot-out yang terakhir jadi ucapakan tahniah perlu diberikan kepada pemain yang berjuang berhabis-habisan.

“Kami gembira dengan kejayaan untuk beraksi di Sukan Olimpik Remaja, tetapi kami mempunyai satu lagi perlawanan untuk bertemu India esok dan tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada pertemuan tersebut,” jelasnya.

Esok skuad lelaki akan turun pada jam 6 petang waktu Malaysia untuk membuat perhitungan terakhir dengan India dan pasukan terbaik akan diangkat selaku juara.

 

Recent Posts

Leave a Comment