Kelayakan Olimpik Remaja: Skuad Lelaki Muncul Naib Juara Dan Wanita Tempat Ketiga

Malaysia menamatkan kempen Kelayakan Sukan Olimpik Remaja Bawah 18 tahun (Asia) 2018 yang berlangsung di Stadium Queen Sirikit, Bangkok Thailand dengan cemerlang apabila skuad lelaki muncul selaku naib juara sementara skuad wanita berada di tempat ketiga.

Walaupun skuad lelaki menamatkan saingan di kedudukan kedua namun pujian harus diberikan kepada mereka yang cemerlang bangkit daripada ketinggalan 2-4 untuk mengikat India 4-4 pada lima minit terakhir perlawanan dan berjaya mengheret permainan hingga ke penentuan shoot-out namun akur tewas 1-2 pada penentuan tersebut.

Bagi skuad wanita pula ketika Korea Selatan mengikat pasukan negara 3-3 dan mereka perlu bermain dengan kekurangan seorang pemain akibat (Putri Nur Batrisyia Nornawawi) yang mengalami kecederaan di kepala selepas terkena bola sewaktu mahu mempertahankan pintu gol negara, sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit mencari kemenangan 5-3.

Dua pemain negara lelaki dan wanita, Siti Zulaika Hussin dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi diangkat selaku pemain terbaik sepanjang kejohanan sementara Mohamad Akhimullah Anuar Esook muncul selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan meledak 16 gol.

Bagi Akhimullah, Firdaus dan Zulaikha, mereka tidak menjangka akan membawa pulang anugerah tersebut selain melahirkan rasa syukur kerana berjaya membantu pasukan dan akan menjadikan anugerah yang dimiliki untuk meningkatkan lagi mutu permainan mereka bersama pasukan.

“Saya bersyukur kerana dapat membantu pasukan menjaringkan 16 gol dan muncul selaku penjaring terbanyak selain kami berjaya untuk menamatkan saingan selaku naib juara sekaligus kami akan ke Sukan Olimpik Remaja di Argentina dan ia merupakan detik paling manis untuk saya di kejohanan ini,” ujar Akhimullah.

“Saya tidak sangka diangkat selaku pemain terbaik sepanjang kejohanan dan anugerah ini pastinya akan memberikan motivasi untuk saya terus berjuang bersama pasukan, membantu pasukan untuk kejohanan yang akan datang dan saya juga berterima kasih kepada pasukan kerana semangat sepasukan kami juga yang membantu saya untuk muncul selaku pemain terbaik sepanjang kejohanan,” kata Firdaus.

“Saya juga tidak terfikir akan dipilih selaku pemain terbaik sepanjang kejohanan dan anugerah ini akan saya jadikan sebagai pembakar semangat saya untuk terus berbakti kepada pasukan dan negara selain anugerah ini saya kongsikan bersama rakan-rakan sepasukan yang turut bermain mati-matian demi mencari kejayaan di kejohanan,” jelas Zulaikha.

Kejayaan skuad lelaki negara beraksi di pentas final membawa mereka dan India mewakili Asia untuk beraksi di Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina yang akan berlangsung pada 6 hingga 18 Oktober 2018.

Recent Posts

Leave a Comment