Piala TNB 2018: Separuh Akhir, Anderson Jumpa AHP-MSP, SSTMI Jumpa SMKDBL

Anderson Thunderbolt, AHP-MSP-Thunderbolt, SSTMI Thunderbolt dan SMKDBL-UniKL-PHJ berjaya melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 selepas cemerlang menewaskan lawan mereka pada perlawanan suku akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Anderson Thunderbolt melangkah ke separuh akhir selepas mengetipakan cabaran MBMB Warriors dengan menewaskan naib juara divisyen dua itu 5-0 sementara lawan yang menanti Anderson Thunderbolt di separuh akhir iaitu AHP-MSP-Thunderbolt turut cemerlang membenam cabaran juara divisyen dua MSSPP-PSHA 5-0.

Bagi pengendali AHP-MSP-Thunderbolt, Mohd Sufian Mohamad, dia berasa bangga dan teruja kerana anak-anak buahnya berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan oleh penaja mereka, Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu untuk melangkah ke separuh akhir walaupun skuad bimbingannya kehilangan beberapa pemain yang melanjutkan pelajaran ke sekolah sukan lain serta Pra-Universiti.

“Saya sangat teruja selain berbangga dengan pasukan kerana kami berjaya untuk melangkah ke separuh akhir untuk kali ketiga berturut-turut semenjak 2016 dan saya bersyukur kami berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan oleh penaja iaitu TNB untuk melangkah ke separuh akhir kerana ia merupakan penunjuk aras yang telah ditetapkan buat pasukan.

“Walaupun saya kehilangan ramai pemain tahun lalu kerana telah melanjutkan pelajaran ke Pra-Universiti selain berhijrah ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar (SSTMI) Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), tetapi saya berjaya membentuk pasukan dengan program pembangunan berterusan serta bantuan daripada TNB, Majlis Sukan Negeri Pahang serta Majlis Perbandaran Kuantan,” ujar Sufian.

Mengulas mengenai pertemua dengan Anderson Thunderbolt, Sufian tidak memandang kemenangan 3-0 yang diraih ketika aksi liga menjamin apa-apa untuk aksi separuh akhir.

“Kami akan melakukan persiapan rapi untuk bertemu Anderson dan walaupun kami berjaya menewaskan mereka ketika pusingan liga, namun ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana memasuki pusingan ini permainan setiap pasukan pastinya sudah berbeza,” tambah Sufian lagi.

Sementara aksi yang menemukan SSTMI Thunderbolt dan MBPJ Tigers berkesudahan dengan SSTMI tidak berdepan masalah untuk mencipta kemenangan 5-0 dan keputusan tersebut akan menemukan mereka dengan SMKDBL-UniKL-PHJ pada pusingan separuh akhir di mana SMKDBL-UniKL-PHJ turut berjaya mencipta kemenangan 2-1 menewaskan BJSS Thunderbolt.

 

Keputusan hari ini (2.Mei.2018)

Anderson Thunderbolts 5 MBMB Warriors 0

MSSPP-PSHA 0 AHP-SSP-Thunderbolt 5

SSTMI THUNDERBOLT 5 MBPJ TIGERS 0

BJSS THUNDERBOLTS 1 SMKDBL-UNIKL-PHJ 2

 

Jadual Separuh Akhir

4.Mei.2018 (Jumaat)

1600, Anderson Thunderbolts lwn AHP-SSP-Thunderbolt

1830, SSTMI THUNDERBOLT lwn SMKDBL-UNIKL-PHJ

**Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 1.

Recent Posts

Leave a Comment