Piala TNB 2018: SSTMI Thunderbolt Pertahan Kejuaraan

SSTMI Thunderbolt berjaya untuk mempertahankan kejuaraan Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 untuk tahun kedua berturut-turut selepas menewaskan AHP-SSP-Thunderbolt 4-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang dua.

Jika tahun lalu, SSTMI Thunderbolt diheret ke penentuan shoot-out sebelum menjulang piala menerusi kemenangan 4-3 pada lawan yang sama selepas perlawanan sebenar berkesudahan dengan seri 2-2, tahun ini mereka berjaya memanafaatkan perlawanan 60 minit untuk ditabal selaku juara dan membawa wang tunai RM40,000.

SSTMI Thunderbolt membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi jaringan padang Muhamad Izham Azhar sebelum Mohammad Akhimullah Anuar Esook memastikan pukulan sudut penalti yang dimiliki digunakan sebaiknya pada minit ke-25 untuk SSTMI Thunderbolt selesa menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan dua jaringan.

Bersambung aksi di separuh masa kedua SSTMI Thunderbolt terus melebarkan jurang jaringan apabila Akhimullah Anuar Esook sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-34 kali ini menerusi jaringan padangnya dan minit ke-52 giliran Muhammad Amirul Hamizan Azahar untuk memastikan kemenangan mutlak milik SSTMI Thunderbolt dengan jaringan keempat dan keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Bagi pengendali SSTMI Thunderbolt, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman dia menyifatkan kejuaraan yang dimiliki hari ini merupakan kejuaraan yang paling manis untuknya kerana berjaya kembali merampas kejuaraan berganda selepas kali terakhir melakukannya pada 2015.

“Saya ucapkan tahniah kepada pemain atas kejayaan yang diperolehi dan kami bersyukur dengan kemenangan ini dan kejayaan hari ini merupakan kejayaan paling manis bagi saya kerana ini merupakan pentas akhir kesepuluh kami dan kami berjaya mendapatkan semula kejuaraan berganda.

“Kali terakhir kami meraih kejuaraan berganda adalah pada tahun 2015 dan saya cukup bersyukur kerana kami merampas kembali kejuaraan berganda ini,” jelas Wan Roslan.

Sementara bagi perlawanan akhir TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (Wanita) 2018 menyaksikan MSSPP-PSHA muncul selaku juara selepas jaringan tunggal Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad pada minit ke-23 membantu pasukannya untuk muncul juara.

Pengendali MSSPP-PSHA, A.N. Leo Vincey memuji sikap bermain sebagai sepasukan yang telah diterapkan oleh pasukannya daripada perlawanan pertama membawa mereka sehingga ke penentuan juara selain menganggap Wipers-KLSS bukan lawan yang mudah untuk mereka.

“Sepanjang kejohanan kami telah bermain sebagai satu pasukan dan beraksi sebagai sepasukan nyata membantu kami untuk berada pada tahap ini selain kami mempunyai kelebihan kerana tiga daripada pemain kami, Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi, Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad dan Siti Nur Arfah Mohd Nor baru pulang daripada perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Remaja di Bangkok Thailand jadi pengalaman mereka membantu untuk meningkatkan motivasi serta semangat pasukan.

“Wipers-KLSS juga telah memberikan satu perlawanan yang sangat baik kepada kami sehingga ke wisel penamat dan mereka juga merupakan satu pasukan yang cukup hebat,” ujar Leo.

 

Anugerah

Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 (Lelaki)

Juara: SSTMI Thunderbolt (membawa pulang RM40,000)

Naib Juara: AHP-SSP-Thunderbolt (membawa pulang RM25,000)

Fairplay: OLAK dan SSMS Resilient (setiap pasukan membawa pulang RM1,500)

Penjaring Terbanyak: Mohammad Akhimullah Anuar Esook, 18 gol – SSTMI Thunderbolt (membawa pulang RM1,500)

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Shello Silverius – SSTMI Thunderbolt (membawa pulang RM1,500)

Pemain Harapan Piala Chua Boon Huat: Alfarico Lance Liau Jr (SMKDBL-UniKL-PHJ)

 

Divisyen Satu TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2018

Juara: SSTMI Thunderbolt (membawa pulang RM20,000)

Naib Juara: Anderson Thunderbolt (membawa pulang RM15,000)

Tempat Ketiga: AHP-SSP-Thunderbolt (membawa pulang RM10,000)

 

Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 (Wanita)

Juara: MSSPP-PSHA (membawa pulang wang tunai RM15,000)

Naib Juara: Wipers-KLSS (membawa pulang wang tunai RM25,000)

Fairplay: UITM-MSN Kedah (membawa pulang wang tunai RM3,000)

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad – MSSPP-PSHA (membawa pulang wang tunai RM 1,500)

 

Kategori Kumpulan A

Juara: MSSPP-PSHA (membawa pulang wang tunai RM7,000)

Naib Juara: SSTMI-PKS Uniten (membawa pulang wang tunai RM3,500)

Tempat Ketiga: UiTM-MSN Kedah (membawa pulang wang tunai RM2,500)

 

Kategori Kumpulan B

Juara: Wipers-KLSS (membawa pulang wang tunai RM7,000)

Naib Juara: MSP-SSP (membawa pulang wang tunai RM3,500)

Tempat Ketiga: MSN Sabah-SHA-SSMS (membawa pulang wang tunai RM2,500)

 

 

 

Recent Posts

Leave a Comment