Trofi Juara-Juara Asia: Skuad Negara Tewas Pada Aksi Pembukaan

Kempen Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2018 yang berlangsung di Donghae, Korea Selatan menyaksikan skuad wanita negara terpaksa menerima keputusan tewas 3-1 kepada tuan rumah Korea Selatan pada perlawanan pembukaan yang berlangsung di Stadium Sunrise, Korea Selatan, hari ini.

Pengendali skuad wanita, Muhammad Dharmaraj Abdullah menerima keputusan tersebut namun memberikan pujian kepada anak-anak buahnya yang berjaya untuk mengimbangi serta memberikan tentangan kepada pasukan lawan selain berjaya untuk terlebih dahulu membuka tirai jaringan.

“Kami berjaya untuk berada di hadapan 1-0 pada suku ketiga tetapi Korea Selatan berjaya untuk bangkit mendapatkan dua jaringan menerusi set-pieces selepas dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti.

“Pada suku keempat, kami hampir menjaringkan gol kedua menerusi pukulan sudut penalti namun percubaan Nuraini Abd Rashid terkena tiang gol dan menerusi lantunan bola tersebut Korea melakukan serangan balas dan menjaringkan gol ketiga.

“Bagaimanapun pemain telah beraksi dengan cukup baik sepanjang perlawanan selain memberikan saingan yang sengit kepada Korea jadi bagi saya ia sesuatu yang cukup bagus apabila kita boleh memberikan persaingan kepada lawan,” ujar Dharmaraj ketika dihubungi.

Skuad wanita berjaya berada di hadapan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nurul Nabihah Mansur pada minit ke-32 namun berselang dua minit kemudian Korea Selatan berjaya mengikat skuad negara juga menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Lee Yuri.

Dua minit sebelum aksi suku ketiga berakhir Korea Selatan menggandakan jaringan sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti apabila set-piece yang direncanakan diterjemahkan dengan baik oleh Kim Hyunji untuk kedudukan berubah 2-1.

Aksi di suku keempat menyaksikan skuad negara dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti tetapi percubaan Nuraini mengenai tiang gol dan bola lantunan tersebut digunakan oleh Korea Selatan untuk melakukan serangan balas dan minit ke-55 Kim Bomi terus meletakkan Korea dihadapan dan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Esok skuad wanita akan turun pada aksi kedua bertemu China dan Dharmaraj mengakui China merupakan pasukan yang kuat dan menuntut pemain-pemain untuk cuba memberikan aksi terbaik seperti yang ditampilkan oleh mereka hari ini.

“China merupakan pasukan yang cukup kuat dan jika kami mampu untuk memberikan persembahan sebaik hari ini ia pastinya cukup bagus buat pasukan kerana China yang tidak mempunyai perlawanan hari ini pastinya akan turun dengan cukup bertenaga esok,” tambah Dharmaraj lagi.

Recent Posts

Leave a Comment