Trofi Juara-Juara Asia: Malaysian Tigress Alami Kekalahan Kedua

Skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah berdepan dengan kekalahan kedua berturut-turut dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2018 yang berlangsung di Donghae Korea Selatan kali ini tewas 1-3 kepada China dalam perlawanan yang berlangsung hari ini di Stadium Sunrise.

China berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketiga selepas Zhang Jinrong meledak gol padang sebelum Li Hong menggandakan kedudukan pada minit ke-20 juga menerusi jaringan padang, bagaimanapun skuad negara berjaya bangkit untuk mengejar China sebelum tamat separuh masa pertama apabila Hanis Nadia Onn menjaringkan gol padang pada minit ke-22.

Sedang perlawanan dilihat bakal tamat dengan keputusan 2-1, China berjaya untuk mendapatkan pukulan penalti stroke pada minit ke-53, Cui Qiuxia merubah kedudukan menjadi 3-1 dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Jurulatih negara, Dharmaraj Abdullah akur tewas ditangan pasukan yang berada di rangking kelapan dunia namun tetap memberikan pujian kepada barisan pemainnya yang telah berjaya membuktikan mereka boleh mengimbangi pasukan besar di Asia.

“Lawan kami bukan pasukan biasa-biasa mereka adalah pasukan yang berada di rangking kelapan dunia dan pemain telah menunjukkan satu permainan yang cukup baik serta jauh daripada apa yang saya jangkakan mereka mampu untuk berikan.

“Pemain juga telah membuktikan mereka boleh mengimbangi pasukan-pasukan besar di Asia dan jika dilihat pada perlawanan hari ini walaupun kami ketinggalan 2-0 tetapi pemain berjaya bangkit untuk mendapatkan satu gol dan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-1.

“Pada suku keempat satu asakan berani telah dilakukan oleh kapten pasukan Siti Noor Amarina Ruhani, China memohon video referral daripada asakan tersebut dan mereka dihadiahkan dengan pukulan stroke dan menjaringkan satu lagi gol.

“Kami mempunyai peluang menerusi pukulan sudut penalti selepas jaringan ketiga China namun tidak menyempurnakannya dengan baik dan kami terima tewas 1-3,” jelas Dharmaraj ketika dihubungi.

Skuad negara akan berehat esok dan turun untuk aksi ketiga bertemu Jepun pada Rabu jam 1.30 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment