Trofi Jura-Juara Asia: Malaysian Tigress Raih Kemenangan Berharga

Skuad wanita negara berjaya meraih kemenangan yang cukup berharga pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2018 di Donghae Korea Selatan, selepas mengecewakan pasukan yang berada di ranking ke-12 dunia, Jepun 3-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sunrise hari ini.

Kemenangan tersebut membuka laluan skuad negara untuk beraksi pada penentuan kedudukan ketiga dan keempat serta meletakkan skuad wanita negara kini di kedudukan keempat dengan tiga mata meninggalkan Jepun di kedudukan terakhir dengan satu mata selepas tiga perlawanan.

Jurulatih negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah memuji semangat berjuang tinggi yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya selain bermati-matian mencari kemenangan untuk memastikan mereka tidak menamatkan persaingan dikedudukan terakhir.

“Ia sesuatu yang cukup menggembirakan apabila kami meraih kemenangan keatas pasukan yang berada di ranking ke-12 dunia dan pujian harus diberikan kepada pemain yang bermati-matian serta mempunyai semangat perjuangan yang cukup tinggi.

“Kami bermain tanpa Raja Norsharina Raja Shabuddin tetapi pemain-pemain lain berjaya untuk mengimbangi ketiadaanya dan peningkatan sememangnya telah ditunjukkan oleh pemain daripada perlawanan pertama selain kemenangan ini begitu bermakna untuk kami kerana kami mempunyai peluang untuk beraksi diperlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat,” jelasnya ketika dihubungi.

Tiga jaringan skuad wanita negara bermula dengan jaringan seawal minit pertama oleh Nur Zafirah Aziz diikuti dengan Fatin Shafika Shukri melakukan biasan daripada pukulan sudut penalti yang diterima oleh skuad negara pada minit ke-21 dan jaringan kemenangan Malaysian Tigress disumbangkan oleh Nuraslinda Said pada minit ke-30.

Mengulas mengenai pertemuan dengan India esok, Dharmaraj mengakui India merupakan pasukan yang hebat dan menuntut pemain-pemain untuk bermain tanpa tekanan selain cuba untuk mencari kemenangan serta mahu mereka belajar untuk memberikan tentangan kepada pasukan yang lebih hebat.

“India sememangnya pasukan yang bagus dan merupakan pasukan yang paling cemerlang setakat ini. Pastinya satu perlawanan yang sukar akan ditempuhi oleh pemain-pemain.

“Bagaimanapun saya mahu mereka beraksi untuk mencari kemenangan tanpa sebarang tekanan dan berlajar untuk berhadapan serta memberikan tentangan kepada pasukan yang lebih hebat dengan berani,” jelas Dharmaraj lagi.

Esok skuad wanita akan turun untuk aksi terakhir peringkat round robin bertemu India pada jam 1.30 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment