Trofi Juara-Juara Asia: Malaysian Tigress Tewas Melawan

Aksi terakhir peringkat round robin Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2018 di Donghae Korea Selatan menyaksikan Malaysian Tigress terpaksa akur dengan kekalahan 2-3 kepada India walaupun telah memberikan tentangan yang hebat dan aksi melawan kepada pasukan yang berada di ranking ke-10 dunia itu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sunrise hari ini.

Dua jaringan skuad negara tercetus pada minit ke-36 selepas Nuraini Rashid tidak mempunyai masalah untuk memastikan pukulan penalti stroke yang dihadiahkan kepada skuad negara disempurnakan dengan sebaiknya dan Hanis Nadia Onn menyumbang gol kedua menerusi gerakan padang pada minit ke-48.

Pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah menyifatkan strategi untuk bermain secara serangan balas nyata mendatangkan kebuntuan untuk India daripada melakukan percubaan-percubaan bahaya ke pintu gol negara serta mengurangkan penguasaan India ketika berada di kawasan Malaysia.

“Kami tahu kekuatan yang dimiliki oleh pasukan India dan kami merangka strategi untuk bermain secara serangan balas supaya dapat mengurangkan peluang-pelaung yang dicipta oleh mereka dan strategi tersebut menjadi apabila mereka kurang mendominasi bola ketika berada di dalam kawasan kami.

“Saya memuji peningkatan dan juga semangat juang yang tinggi yang telah ditampilkan oleh setiap pemain dan ia sangat membanggakan untuk saya.

“Pemain-pemain muda juga seperti Nur Zafirah Aziz, Nur Amirah Shakirah Zulkifli, Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad dan Nor Asfarina Isahyifika Isahhiddun menunjukkan peningkatan permainan yang cukup ketara dari perlawanan pertama sehingga pertemuan dengan India,” ujar Dharmaraj ketika dihubungi.

Dalam pada itu skuad negara kini masih menantikan adakah mereka bakal layak ke penentuan tempat ketiga dan keempat kerana Jepun yang berada di kedudukan kelima masih mempunyai baki satu perlawanan dan jika Jepun meraih kemenangan pada perlawanan akhir maka Malaysian Tigress bakal berada dikedudukan terakhir.

Namun Dharmaraj tetap optimis skuad negara bakal ke penentuan tempat ketiga dan keempat kerana lawan yang menanti Jepun pada perlawanan terakhir mereka ialah China dan buka mudah untuk Jepun menewaskan China.

“Impian kami pastinya untuk beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat kerana tiada siapa menjangkakan kami mampu untuk melakukan kejutan disini.

“Jika Jepun menewaskan China pada perlawanan terakhir mereka esok, peluang kami tertutup rapat tetapi bukan senang untuk Jepun menewaskan China dan kami tetap optimis peluang untuk beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat tetap ada untuk kami,” jelasnya lagi.

Recent Posts

Leave a Comment