KHM Terima Tawaran Anjur Kejohanan Siri Hoki Terbuka Final 2019

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato Sri’ Subahan Kamal dalam satu sidang media yang berlangsung semalam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, berkongsi mengenai tawaran yang diterima KHM daripada pihak Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menganjurkan Kejohanan Siri Hoki Terbuka Final yang dijadualkan berlangsung pada Jun 2019.

Kejohanan Siri Hoki Terbuka yang menggunakan format baru dimana sebelum ini menggunakan nama Liga Hoki Dunia merupakan kejohanan pusingan kelayakan bagi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo Jepun dan ia dipandang sebagai satu peluang terbaik untuk skuad lelaki negara beraksi di pentas Sukan Olimpik 2020 sekiranya tidak meraih pingat emas pada Sukan Asia 2018 yang menjanjikan slot automatik ke Sukan Olimpik 2020.

“Kami menerima tawaran daripada FIH untuk menganjurkan Kejohanan Siri Hoki Terbuka Final yang dijadualkan bakal berlangsung pada bulan Jun tahun hadapan.

“Bagaimanapun perkara tersebut akan dibawa dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif pada 2 Jun hadapan dan akan berbincang dengan semua Ahli Lembaga Eksekutif mengenai perancangan tersebut dan mendapatkan persetujuan daripada semua.

“Jika kami menganjurkan Kejohanan Siri Hoki Terbuka Final ia akan memberikan kelebihan buat skuad negara kerana kejohanan tersebut juga menawarkan slot untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, seandainya skuad negara gagal meraih pingat emas pada Sukan Asia bulan Ogos nanti yang menawarkan tiket secara automatik ke Sukan Olimpik,” jelas Dato Sri’ Subahan pada sidang media yang berlangsung semalam.

Dalam pada itu, KHM juga menyatakan perancangan untuk menganjurkan Hoki Piala Dunia 2022 bagi kategori lelaki dan wanita dan KHM memandang serius untuk mempertimbangkan pengajuran tersebut selepas kali terakhir menganjurkan Piala Dunia pada tahun 2002.

“Kami juga akan membincangkan perkara ini (penganjuran Piala Dunia 2022) dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif kerana sudah lama Malaysia tidak menganjurkan kejohanan berprestij ini dimana kali terakhir kami menganjurkannya pada 2002.

“Jika perlu kami akan menghantar permohonan rasmi kepada FIH untuk menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia Lelaki dan Wanita, sekiranya tawaran diberikan untuk menganjurkan salah satu kategori kami tidak mempunyai masalah namun kami meletakkan harapan untuk menganjurkan kedua-dua kategori,” katanya.

Recent Posts

Leave a Comment