Ayuni Rangkul Gelaran Penjaga Gol Terbaik Asia Kali Kedua

Kejohanan Trofi Juaa-Juara Asia (Wanita) 2018 di Donghae Korea Selatan telah melaburkan tirai dengan menyaksikan skuad wanita memperbaiki kedudukan 2016 apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat malah lebih manis apabila penjaga gol Malaysian Tigress, Farah Ayuni Yahya dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik Trofi Juara-Juara Asia 2018.

Gelaran tersebut merupakan gelaran kedua diraih oleh Ayuni, dimana kali pertama Ayuni dinobatkan dengan gelaran tersebut ketika Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2016 yang berlangsung di Singapura, dengan skuad wanita negara menamatkan persaingan di kedudukan terakhir.

Ayuni yang ditemui ketika pulang dari Korea Selatan melahirkan rasa syukur kerana berjaya untuk merangkul gelaran itu dan tidak menjangka akan dinobatkan dengan gelaran tersebut sekali lagi selain menegaskan setiap kali turun beraksi tumpuannya hanya diberikan kepada perlawanan bagi memastikan dirinya melakukan yang terbaik.

“Alhamdulillah saya berjaya untuk merangkul gelaran Penjaga Gol Terbaik sekali lagi dan saya ucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan seperjuangan seta jurulatih atas sokongan dan dorongan semua kerana saya langsung tidak menjangkakan akan merangkul gelaran tersebut sekali lagi.

“Untuk setiap kejohanan apa yang saya fikirkan adalah untuk melakukan yang terbaik selain memberikan fokus sepenuhnya kepada apa yang perlu saya lakukan dalam perlawanan kerana setiap kali turun berlatih saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya dan apa yang telah saya berlatih saya praktikan sepenuhnya di dalam perlawanan,” jelas Ayuni yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

Skuad wanita negara selepas ini akan terbang ke Singapura bagi kejohanan Hoki Siri Terbuka 2018 yang akan berlangsung pada 23 Jun hingga 1 Julai dan bagi Ayuni Malaysia yang bakal turun selaku pasukan di ranking paling teratas perlu memberikan tumpuan sepenuhnya sambil tidak menganggap jadual padat sebagai satu masalah untuk dirinya dan skuad Malaysian Tigress.

“Untuk kejohanan di Singapura, Malaysia merupakan pasukan yang berada di ranking paling atas jadi walaupun jadual kami padat tetapi kami akan tetap memberikan tumpuan sepenuhnya kerana kami telah sedia maklum dari awal jadual untuk tahun ini memang padat.

“Apa yang kami lakukan adalah sentiasa ingat bahawa ini bukan masa untuk berehat terlalu lama dan sedar akan tanggungjawab yang menanti kami,” jelasnya lagi.

Bagi Kejohanan Hoki Siri Terbuka 2018 yang akan berlangsung di Singapura, selain skuad negara turut akan beraksi pada kejohanan tersebut ialah tuan rumah Singapura, Thailand, Kazakhstan, Hong Kong China dan Indonesia.

Recent Posts

Leave a Comment