Siri Jelajah: Malaysian Tigers Masih Mencari Kemenangan

Malaysian Tigers menamatkan empat perlawanan persahabatan yang berlangsung di Mar Del Plata Argentina dengan kekalahan dan mereka dilihat masih lagi mencari rentak kemenangan apabila terbaru perlawanan awal pagi ini menyaksikan skuad negara tewas 2-1 kepada pasukan yang berada di ranking kedua dunia.

Bagaimanapun skuad bimbingan Stephen van Huizen masih mempunyai baki dua perlawanan ujian yang akan berlangsung di Club Ciudad De Buenos Aires pada 1 dan 2 Jun ini bagi menamatkan enam siri perlawanan ujian yang telah di atur di Argentina bertemu pasukan juara Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Perlawanan pembukaan yang berlangsung 25 Mei lalu menyaksikan skuad negara tewas tipis 1-0 selepas berjaya untuk mengawal permainan dengan baik sehingga minit ke-55, namun pukulan sudut penalti ketiga yang dimiliki Argentina dimanafaatkan oleh Lucas Rossi untuk skuad negara membuka saingan perlawanan ujian dengan langkah kiri.

Skuad negara terus buntu untuk mencari kemenangan apabila terpaksa berdepan dengan kekalahan kedua berturut-turut pada perlawanan ujian kedua dan kali ini dengan jaringan yang lebih besar, 1-6. Jaringan tunggal skuad negara disumbangkan oleh Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menerusi jaringan padang beberapa saat sebelum masa sebenar perlawanan berakhir.

Kekalahan terus menghantui kem negara apabila aksi ketiga yang berlangsung pada 28 Mei lalu menyaksikan satu lagi kekalahan terpaksa ditempuh oleh skuad negara dengan satu lagi jaringan besar, 2-7. Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Malaysian Tigers kerana berjaya merobek gawang Argentina dua kali menerusi jaringan padang seawal minit kelima oleh Muhammad Haziq Samsul dan minit ke-45 oleh Muhammad Azri Hassan.

Terbaru aksi keempat yang berlangsung awal pagi ini skuad negara berjaya menunjukkan peningkatan yang lebih baik dalam permainan dan mengekang Argentina daripada terus meledak jaringan besar apabila tewas tipis 1-2 dan skuad negara berjaya membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-14 sebelum Argentina bangkit menerusi dua jaringan pukulan sudut penalti pada suku ketiga dan keempat.

Perlawanan ujian akan bersambung di Club Ciudad De Buenos Aires dengan dua lagi perlawanan akan ditempuhi pada 1 dan 2 Jun ini jam 5 pagi waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment