Malaysian Tigers Akhiri Siri Jelajah Dengan Kemenangan

In MAIN

Malaysian Tigers berjaya untuk menutup aksi siri jelajah perlawanan ujian yang telah diatur di Argentina dengan kemenangan apabila aksi yang berlangsung di Club Ciudad De Buenos Aires pagi ini ditutup dengan keputusan 2-1.

Selepas berdepan dengan empat kekalahan berturut-turut pada aksi yang berlangsung di Mar Del Plata, skuad bimbingan Stephen van Huizen berjaya untuk keluar daripada belenggu kekalahan apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 pada aksi kelima dan terbaru dengan kemenangan.

Pada perlawanan yang berlangsung pagi ini, Malaysian Tigers berjaya untuk mengejutkan Argentina dengan jaringan pembukaaan pada minit ke-18 menerusi penyudah yang baik oleh Muhammad Shahril Saabah selepas overhead flik yang dilakukan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim gagal diselamatkan oleh lawan dan Shahril bijak untuk melakukan larian dan membuat pukulan untuk menewaskan penjaga gol Argentina.

Jaringan skuad negara tidak terhenti setakat itu apabila sebelum tamat aksi separuh masa pertama, Muhammad Haziq Samsul meledak jaringan kedua pada minit ke-22 untuk aksi separuh masa pertama berkesudahan dengan skuad negara berada di hadapan 2-0.

Bagaimanapun Argentina berjaya untuk mencuri satu jaringan daripada perlawanan pagi tadi selepas Pedro Ibarra menyempurnakan pukulan sudut penalti yang dihadiahkan kepada mereka pada minit ke-41 dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Mengimbas kembali perlawanan kelima yang turut berlangsung di Club Ciudad De Buenos Aires, ketinggalan 1-0 selepas Argentina meledak gol padang pada minit ke-12 menerusi Nicolas Della Torre langsung tidak mematahkan semangat Malaysian Tigers untuk bangkit mencari gol penyamaan apabila pukulan sudut penalti yang dihadiahkan pada minit ke-26 disudahkan dengan baik oleh Razie Rahim untuk perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Untuk rekod skuad negara melengkapkan enam perlawanan dalam siri jelajah perlawanan ujian di Argentina dengan satu kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.

Skuad negara akan berlepas pulang ke tanah air esok dan dijadualkan tiba di Malaysia pada Isnin, 4 Jun 2018 jam 2.25 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment