Kumar Berkorban Demi Malaysian Tigers

Ketika tumpuan diberikan kepada keputusan demi keputusan dalam enam perlawanan ujian yang telah diaturkan di Argentina di mana empat perlawanan telah berlangsung di Mar del Plata sementara dua lagi di Club Ciudad de Buenos Aires, tiada siapa mengetahui dugaan dan pergorbanan yang dilakukan oleh penjaga gol negara, S. Kumar ekoran masalah kesihatan yang menghantui anak-anak dan isterinya ketika dia beraksi bersama skuad kebangsaan

Kumar menjelaskan terlalu banyak dugaan yang dilalui olehnya ketika dia kembali bersama kem negara dan bukan mudah untuknya berdepan dengan dugaan tersebut tetapi selaku pemain hoki professional dia tetap memberikan tumpuan sepenuhnya setiap kali turun beraksi.

“Anak tidak sihat ada yang terpaksa ditahan di hospital dan kini anak saya yang baru lahir juga tidak sihat jadi sepanjang siri jelajah perlawanan ujian banyak dugaan yang saya lalui.

“Dengan pelbagai dugaan yang datang, saya tetap memberikan tumpuan sepenuhnya kepada enam perlawanan ujian namun hakikatnya bukan mudah untuk saya melaluinya walaupun ianya hanya enam perlawanan ujian.

“Hanya saya tahu apa yang saya lalui dengan keadaan isteri saya, ditambah dengan masalah kesihatan anak yang baru lahir termasuk anak kedua saya juga tidak berada dalam kesihatan yang baik jadi banyak yang perlu saya lalui dan tiada siapa yang tahu namun saya tetap memberikan tumpuan kepada perlawanan,” jelas Kumar ketika tiba dari Argentina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Siri jelajah di Argentina merupakan aksi pertama Kumar bersama skuad kebangsaan selepas menamatkan tempoh penggantungan kes doping bulan April lalu.

Malaysia menamatkan enam perlawanan ujian dengan satu kemenangan 2-1 pada aksi terakhir, satu keputusan seri 1-1 dan empat kekalahan, 1-0, 1-6, 2-7 dan 2-1.

Recent Posts

Leave a Comment