Program Pembangunan Diteruskan Dengan Nafas Baru

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak akan berhenti daripada menjalankan program pembangunan malah kini dalam persediaan untuk melancarkan program yang diberikan nafas baru daripada program terdahulu 1MAS dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden Kanan yang juga Pengerusi Pembangunan KHM, Prof Dato’ Dr Shamala Subramaniam menjelaskan KHM terus komited untuk menjalankan dan meneruskan program pembangunan bagi memastikan sukan hoki terus mempunyai pelapis dan penstrukturan baru yang akan diperkenalkan adalah salah satu langkah untuk membawa program pembangunan hoki ke satu tahap yang lebih baik.

“KHM telah membuat penelitian terhadap keberkesanan program dalam beberapa aspek bagi memastikan kualiti program terus berada di tahap teratas. Antara yang dinilai semula termasuk menilai jumlah pusat latihan yang mungkin akan memperlihatkan sedikit kelainan kerana kami telah mengkaji dari segi skala geografi untuk mengoptimumkan keberkesanan program.

“Kami juga melihat ada berlaku pertindihan program jadi kami akan menggabungkan program tersebut agar fokus, kualiti akan dapat terus dipertingkatkan daripada program 1MAS sebelum ini dan ingin saya tegaskan disini kami tidak melancarkan program baru sebaliknya menambahbaik daripada program lama serta memberikan nafas baru untuk diangkat ke tahap yang lebih baik,” jelas Dato Shamala.

Dalam perkembangan yang sama, menurut Pengarah Pembangunan KHM, Tai Beng Hai, program 1 MAS yang diilhamkan pada tahun 2010 oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah mendapat peruntukan dana sebanyak RM 11 juta daripada kerajaan untuk digunakan dalam tempoh lima tahun dan ketelusan pihak pentadbiran mengendalikan dana yang diberikan, dana tersebut dapat bertahan sehingga tujuh tahun selain program 1MAS telah diselaraskan dengan teliti secara bersama oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dan Presiden KHM.

“Program 1MAS merupakan cetusan idea KDYTM Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah dan ia merupakan projek pembangunan jangka masa panjang untuk melahirkan pemain elit muda dan bersedia untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

“Dana diperolehi daripada kerajaan sebanyak RM 11juta untuk digunakan bagi tempoh lima tahun (2010 – 2015) dan kerana pihak pengurusan menggunakan dana dengan telus serta bijak menyelia dana yang diberikan kami dapat menggunakan dana tersebut untuk tempoh tujuh tahun sehingga 2017.

“Program 1MAS mempunyai 43 pusat latihan dan 67 jurulatih bagi lelaki serta 14 pusat latihan  dan 25 jurulatih bagi perempuan, dan kerana ia merupakan program yang bagus serta dapat membimbing pemain-pemain muda ketahap yang lebih tinggi jadi pihak KHM telah memikirkan untuk membuat penstrukturan semula program ini mengikut keperluan semasa dan diselaraskan mengikut hala tuju KHM selain mahu menggunakan cara pembangunann yang lebih dinamik seperti dari sudut untuk mempertingkatkan ilmu kejurulatihan dan pendedahan pemain kepada teknik-teknik serta konsep terkini melalui website dan teknologi video,” jelas Beng Hai.

Untuk rekod selepas lapan tahun program 1MAS dijalankan, program tersebut berjaya mencipta sejarahnya tersendiri apabila kesemua pemain yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Remaja 2018, Argentina bagi kategori lelaki merupakan pemain kelahiran program tersebut.

Selain itu, tujuh daripada sembilan pemain perempuan yang beraksi di Kelayakan Sukan Olimpik Remaja 2018 Zon Asia yang berlangsung di Bangkok Thailand baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia menamatkan persaingan di kedudukan ketiga merupakan pemain yang turut bernaung di bawah program yang sama.

Berikut merupakan antara kejayaan lain 1MAS dalam tiga tahun kebelakangan ini bagi memastikan pemain-pemain yang mengikuti program tersebut berjaya mendapat tempat dalam skuad hoki kebangsaan, negeri dan Liga Hoki Malaysia.

 

2018: TNB Liga Hoki Remaja Malaysia: 65% pemain dan bekas pemain 1MAS mendapat tempat.

Kejohanan Hoki Kebangsaan B-16: 71% pemain daripada program 1MAS.

 

2017: TNB Liga Hoki Remaja Malaysia: 63% pemain dan bekas pemain 1MAS beraksi.

Piala Sultan Johor: 72% pemain di bawah program 1MAS.

Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia B-18: 75% merupakan pemain 1MAS

Kejohanan Hoki Kebangsaan B-16: 75% pemain daripada program 1MAS

 

2016: Kejohanan B-16 Mannheim Jerman: 83% pemain daripada program 1MAS.

SUKMA: 44% pemain 1MAS beraksi.

 

2015: Piala FHE, Perth: Skuad lelaki 1MAS muncul juara untuk kali kedua selepas menjuarai kali pertama pada 2012. Pasukan lelaki 1MAS menewaskan Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Negeri Sabah serta wakil Australia, Australia Warriors pada 2015.

Recent Posts

Leave a Comment