Siri Jelajah Australia: Malaysian Tigress – QAS Terikat 1-1

Skuad hoki wanita negara hari ini memulakan siri perlawanan persahabatan pertama mereka dengan mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Queensland Academy of Sports (QAS) di Pusat Hoki Brisbane.

Jaringan kedua-dua pasukan tercetus pada suku terakhir perlawanan dan Nuraslinda Said merupakan penyumbang tunggal skuad negara untuk aksi hari ini.

Pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah menyatakan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sama rata, walau bagaimanapun dia kurang gembira apabila kelebihan pukulan sudut penalti dan peluang untuk meledak gol menerusi jaringan padang tidak berjaya disempurnakan dengan sebaiknya.

“Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sama rata tetapi kami tidak menggunakan peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol sama ada menerusi gerakan padang ataupun pukulan sudut penalti dengan sebaiknya.

“Kedua-dua pasukan memperolehi empat pukulan sudut penalti dan untuk aksi pertama hari ini kesemua pemain saya berikan peluang untuk beraksi.

“Kekurangan yang saya lihat perlu diperbaiki adalah untuk mempertajamkan lagi pukulan sudut penalti selain peluang untuk menjaringkan gol padang perlu disempurnakan.

“Pemain juga perlu lebih tangkas dalam melakukan serangan balas kerana untuk menjadi lebih tangkas dalam serangan balas merupakan fokus utama kami menjelang Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Esok skuad negara akan turun untuk bertemu QAS sekali lagi jam 3.30 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment