Siri Jelajah Australia: Malaysian Tigers Tewas, Malaysian Tigress Catat Seri Kedua

In MAIN

Skuad hoki lelaki dan wanita negara turun untuk aksi perlawanan persahabatan yang telah diatur di Australia hari ini dan skuad lelaki yang bersaing untuk perlawanan pertama bertemu Australia A akur tewas 2-4 pada pertemuan yang berlangsung di Stadium Hoki Perth, sementara skuad wanita yang turun untuk perlawanan persahabatan kedua di Pusat Hoki Brisbane mencatatkan keputusan seri kedua berturut-turut kali ini 2-2 dengan Queensland Academy of Sports (QAS).

Bagi aksi pertama Malaysian Tigers, pengendali negara Stephen van Huizen menggunakan sistem pengiliran penjaga gol pada setiap suku perlawanan antara S. Kumar dan Muhammad Hairi Abd Rahman sementara kapten pasukan Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan Nabil Fiqri Mohd Noor tidak dapat diturunkan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada demam.

Stephen menjelaskan untuk aksi pertama pemainnya dilihat mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan selain beberapa kesilapan yang dilakukan menghukum mereka dengan jaringan serta melihat masih ada kekurangan dibahagian pertahanan.

“Pemain mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan dan berlaku beberapa kesilapan dalam mengawal bola selain pemain kehilangan bola dengan mudah.

“Secara keseluruhan saya kecewa dengan kekalahan ini dan kami dihukum dengan jaringan akibat beberapa kesilapan yang dilakukan di dalam kawasan 25 dimana ketika bertahan permain perlu menyelamatkan bola dan melakukan hantaran keluar dengan lebih baik,” jelasnya ketika dihubungi selepas perlawanan.

Dalam satu lagi aksi yang menemukan Malaysian Tigress dan QAS menyaksikan keputusan seri kedua berturut-turut terhasil daripada perlawanan persahabatan kedua dan aksi hari ini giliran Fazilla Sylvester Silin serta Hanis Nadia Onn menyumbang gol buat Malaysian Tigress.

Pengendali skuad wanita, Muhammad Dharmaraj Abdullah ketika dihubungi selepas tamat perlawanan memuji aksi yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya pada perlawanan hari ini namun sedikit kecewa apabila beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan lebih banyak gol tidak disempurnakan.

“Kami bermain dengan cukup baik hari ini dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol termasuk 11 pukulan sudut penalti.

“Tetapi kami hanya berjaya menjaringkan satu gol menerusi pukulan sudut penalti dan satu gol gerakan padang.

“Saya juga tidak boleh menafikan aksi cemerlang yang ditampilkan oleh penjaga gol Queensland bagaimanapun dari segi permainan kami bermain dengan cukup baik cuma jaringan gol tidak memihak kepada kami,” ujar Dharmaraj.

Esok skuad wanita akan berehat sebelum turun untuk aksi ketiga pada Khamis bertemu QAS jam 3.30 petang waktu Malaysia sementara skuad lelaki akan meneruskan aksi persahabatan kedua mereka esok bertemu Australia A jam 11 pagi waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment