Siri Jelajah Australia: Australia A Sekat Hajat Malaysian Tigers Cari Kemenangan Pertama

In MAIN

Impian skuad hoki negara untuk mencari kemenangan pertama dalam siri perlawanan persahabatan di Australia masih belum kesampaian apabila terpaksa berhadapan satu lagi kekalahan 2-3 ketika bertemu Australia A pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Perth, hari ini.

Walaupun Malaysian Tigers berjaya meninggalkan lawan mereka 2-0 pada separuh masa pertama hasil gol padang Faizal Saari pada minit keempat dan Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-19, namun Australia A bangkit di separuh masa kedua dengan tiga gol (m’38, m’43 dan m’44) untuk meragut harapan skuad negara mencari kemenangan pertama.

Jurulatih kebangsaan, Stephen van Huizen melihat ada peningkatan yang telah ditunjukkan oleh pemain-pemainnya untuk aksi kedua hari ini selain berjaya mencipta beberapa peluang untuk mencabar pintu gawang lawan, namun mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki apabila aksi di suku ketiga perlawanan yang dilihat seimbang berlaku beberapa kesilapan yang menghukum skuad negara dengan tiga gol kebangkitan lawan.

“Berbanding semalam hari ini kami memulakan perlawanan dengan lebih baik dan daripada wisel permulaan dibunyikan pemain berusaha keras untuk mengekang lawan daripada memegang bola dengan lama.

“Saya gembira dengan jumlah percubaan untuk melakukan jaringan yang dicipta pemain selain tidak memberikan lawan peluang untuk melakukan percubaan tepat atau menghadiakan mereka pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama.

“Bagaimanapun memasuki suku ketiga, perlawanan dilihat seimbang namun berpunca daripada pukulan stroke yang dihadiahakan kepada Australia A, membuka ruang untuk mereka mengejar kedudukan kami.

“Pihak lawan juga dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti apabila pemain negara melakukan kesilapan yang menghasilkan jaringan penyamaan kepada lawan dan Australia A juga menjaringkan satu lagi gol menerusi gerakan padang.

“Tiga minit sebelum perlawanan berakhir kami mengunakan kicking back keeper dan memiliki peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi tidak disempurnakan dengan sebaiknya,” jelas Stephen ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.

Esok Malaysian Tigers akan berehat sebelum turun untuk perlawanan ketiga pada Jumaat jam 12.30 tengah hari waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment