Siri Jelajah Australia: Malaysian Tigress Tewaskan QAS 3-1

Skuad hoki wanita negara yang turun untuk siri perlawanan persahabatan ketiga bertemu Queensland Academy of Sport (QAS) di Pusat Hoki Brisbane hari ini akhirnya menemui sentuhan kejayaan apabila menewaskan lawan mereka 3-1.

Tiga gol negara kesemuanya berpunca daripada pukulan sudut penalti dimana dua gol dijaringkan oleh Nuraini Rashid dan satu lagi hasil gol Hanis Nadia Onn. Berdasarkan statistik perlawanan hari ini, Malaysian Tigress memperolehi 10 pukulan sudut penalti dan menjaringkan tiga daripadanya sementara QAS dihadiahkan dengan enam pukulan sudut penalti dan satu daripadanya diterjemahkan kepada gol.

Pengendali negara Muhammad Dharmaraj Abdullah ketika dihubungi selepas tamat perlawanan nyata berpuas hati selepas anak-anak buahnya mencatatkan dua keputusan seri dalam dua perlawanan terdahulu, akhirnya mereka menemui rentak kemenangan dan menjaringkan tiga daripada lima pukulan sudut penalti pertama.

“Saya berasa ia sesuatu yang cukup baik apabila lima pukulan sudut penalti yang pertama kami perolehi, kami menukarnya kepada tiga jaringan gol.

“Pemain juga melakukan pertahanan dan serangan balas dengan cukup baik selain mewujudkan beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Paling penting pemain tidak memberikan lawan sebarang peluang untuk menjaringkan gol pada suku terakhir perlawanan dan lawan juga gagal untuk mendapatkan sebarang pukulan sudut penalti.

“Ianya sesuatu yang bagus kerana kami selalu tertewas di penghujung perlawanan contohnya pada aksi persahabatan kedua apabila kami mendahului 2-0, kami membenarkan lawan bangkit untuk ikat kedudukan 2-2.

“Saya juga cukup gembira kerana selepas dua keputusan seri berturut-turut, akhirnya kami berjaya untuk menewaskan mereka,” ujar Dharmaraj.

Esok skuad wanita negara akan turun untuk aksi keempat mereka pada jam 3.00 petang waktu Malaysia dan skuad lelaki juga akan turun untuk aksi ketiga jam 12.30 tengah hari waktu Malaysia di mana perlawanan skuad lelaki berlangsung di Stadium Hoki Perth.

Recent Posts

Leave a Comment