Siri Jelajah Australia: Malaysian Tigress Catat Kemenangan Kedua, Malaysian Tigers Masih Cari Kemenangan

Malaysian Tigress terus cemerlang mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut menewaskan Queensland Academy of Sports (QAS) 2-1 pada aksi yang berlangsung di Pusat Hoki Brisbane sementara Malaysian Tigers dilihat masih lagi mencari fomular terbaik untuk memecahkan kebuntuan kemenangan apabila tewas kepada Australia A, 0-3 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Perth.

Walaupun skuad wanita ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, kebangkitan yang ditunjukkan Malaysian Tigress menghadiahkan kemenangan kedua skuad wanita negara hasil gol pukulan sudut penalti Nuraini Rashid dan beberapa saat sebelum masa sebenar perlawanan berakhir, Kirandeep Kaur menyempurnakan pukulan sudut penalti selepas penjaga gol lawan gagal untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya dengan sempurna.

Pengendali skuad wanita negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah melihat peningkatan telah ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dan kebangkitan pemain di suku ketiga selepas ketinggalan selain tidak memberikan peluang untuk lawan menambah jaringan membuahkan hasil untuk mereka catat kemenangan kedua pada siri perlawanan persahabatan.

“Peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan dapat dilihat dalam pasukan dan lawan kami hari ini turun dengan lebih garang untuk cari kemenangan dan kesungguhan mereka menghadiahkan gol pertama.

“Pada suku ketiga menerusi pukulan sudut penalti keenam, Nuraini menjaringkan gol penyamaan dan asakan demi asakan terus pemain berikan kepada QAS.

“Aksi di suku keempat kami lebih berkeyakinan dan mencipta peluang-peluang untuk terus menjarakkan kedudukan selain tidak membenarkan lawan mendapat peluang untuk mendahului.

“Kami mendapat pukulan sudut penalti kelapan dan Fazilla Sylvester Silin melakukan flik terus kepada penjaga gol tetapi bola yang cuba diselamatkan penjaga gol muntah dan jatuh di hadapan Kiran dan Kiran menggunakan peluang tersebut untuk kami memenangi perlawanan hari ini,” jelas Dharmaraj.

Dalam pada itu, skuad lelaki yang tidak dapat menggunakan khidmat Nabil Fiqri Mohd Noor ekoran masih bergelut dengan demam dan Meor Muhamad Azuan Hassan yang berdepan masalah hamstring dibolosi pada minit ke-29, 44 dan 58 bagaimanapun memiliki empat percubaan tepat ke gawang lawan dalam usaha mereka untuk mencari jaringan.

Jurulatih lelaki negara, Stephen van Huizen jelas kecewa dengan kekalahan ketiga skuad bimbingannya dan menyedari kesilapan-kesilapan di saat genting menyebabkan mereka dibolosi.

“Satu lagi perlawanan yang sukar dan kekalahan yang mengecewakan untuk kami walaupun pemain telah berusaha sedaya-upaya mereka untuk memberikan aksi terbaik namun kesilapan-kesilapan disaat-saat genting menyebabkan kami dihukum.

“Pemain berkerja keras dan berusaha untuk mencipta peluang tetapi penyerang tidak mempunyai ruang yang terbaik untuk menerima hantaran bola bagi melakukan penyudahan.

“Untuk baki dua lagi perlawanan kami akan rangka semula perancangan pasukan dan terus berusaha untuk bangkit,” jelas Stephen ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.

Esok skuad wanita dan lelaki negara akan berehat sebelum skuad wanita turun untuk aksi terakhir pada Ahad, jam 1 petang waktu Malaysia dan skuad lelaki pula akan turun untuk aksi keempat pada Isnin, 1.30 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment